redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: “Seandainya ditakdirkan meninggal dunia, biarlah Allah SWT cabut nyawa saya bersama kucing. Tapi saya minta kepada Allah SWT supaya izinkan umur panjang kerana nak menjaga kucing peliharaan sampai akhir hayat,” kata lelaki yang juga bapa tunggal dikenali Izan, 44.
Izan memelihara 51 ekor kucing dan sanggup menyewa sebuah rumah kedai sejak 14 tahun lalu bagi menempatkan haiwan kesayangannya itu.
Menurutnya, kebanyakan kucing peliharaan itu dibawa pulang selepas dijumpai di tepi jalan dan lebuh raya.
“Kucing itu dipercayai dibuang dengan sebahagiannya dalam keadaan sakit serta cedera.
“Setiap bulan, saya membelanjakan hampir RM3,000 bagi perbelanjaan kesemua kucing peliharaan. Namun jumlah itu tidak termasuk wang yang perlu disediakan untuk kecemasan,” katanya.
Lantaran itu, Izan berusaha keras dengan melakukan dua pekerjaan iaitu sebagai pemandu lori bagi syarikat pemasangan kabinet dan menawarkan servis pungutan sampah pukal dari rumah serta premis untuk dibuang ke tapak pelulusan.
“Saya bela kucing sejak 2010. Kucing pertama (kucing) adalah Kiki iaitu seekor kucing betina yang masih dipelihara sehingga kini.
“Saya beli Kiki daripada seorang kawan di Jelebu, Negeri Sembilan dengan harga RM200.
“Bermula dengan seekor, kini ada 51 ekor kucing. Jika diikutkan dahulu ada 70 ekor kucing. Namun sebahagiannya mati kerana sakit tua,” katanya.
Bercerita lanjut, Izan berkata, dia tiada masalah menguruskan kucing peliharaannya kerana waktu kerja yang agak fleksibel iaitu 8.30 pagi hingga 11 pagi.
“Kerja saya bergantung dengan pesanan pelanggan. Justeru saya boleh menguruskan masa dengan baik.
“Saya juga bersyukur kerana pemilik rumah memahami keperluan saya menyediakan tempat untuk kucing peliharaan berteduh dan tidak menaikkan sewa yang kekal RM600 sejak dahulu.
“Setiap kali saya pulang dari kerja dan buka pintu, sekitar 15 hingga 20 ekor kucing akan berkerumun.
“Penat kerja terus hilang waktu itu. Setakat ini, belum pernah lagi saya ikat perut kerana beri makan dan berbelanja untuk kucing.
Katanya, ramai berminat untuk membeli kucing peliharaannya namun dia tidak sanggup melepaskan walaupun ditawar dengan harga tinggi.
“Tak sampai hati nak serah atau jual kepada orang lain kerana bukan hanya menjaga malah pernah tidur serta bermain dengan kucing itu.
“Ada juga seorang doktor veterinar yang berminat membeli kucing saya. Namun saya sudah anggap kucing peliharaan seperti anak serta nyawa saya sendiri.
“Jadi selagi ada kudrat, saya akan terus memelihara kucing berkenaan dan serahkan soal hidup dan mati kepada Allah SWT. Cuma sudah pesan kepada adik-beradik untuk bantu jaga dengan sebaik-baiknya jika saya tiada satu hari nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




