SHAH ALAM – Peruntukan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan TVET 2.0 bakal membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, pekerja dan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam sektor-sektor ekonomi bernilai tinggi dan membantu negara memenuhi permintaan tenaga kerja mahir yang semakin meningkat, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta hab bakat serantau.
“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan memastikan peruntukan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program-program berimpak tinggi dalam memperkasa PMKS dan mengarusperdanakan TVET.
“Inisiatif ini juga akan membantu memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju membenarkan penggunaan dana hingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK bagi memperkukuh pelaksanaan TVET 2.0.
Menurutnya, penggunaan dana itu adalah bersyarat iaitu pihak majikan dan industri perlu bekerjasama erat dengan kerajaan bagi menjayakan agenda TVET 2.0.
Mengulas lanjut, Ramanan menyambut baik penegasan Anwar mengenai peruntukan yang perlu diterjemahkan kepada tindakan berimpak melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan itu.
“Sinergi ini akan memastikan program TVET sentiasa responsif terhadap perkembangan teknologi baharu, keperluan pelabur dan permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara.
“Ia juga mempercepatkan transformasi ekosistem TVET dan memperkukuh agenda pembangunan bakat Malaysia Madani,” ujarnya.
Tambah beliau, inisiatif lain turut diambil menerusi penyelarasan Majlis TVET Negara (MTVET) dan PTPK.
“Menerusi MTVET dan PTPK, Kesuma memberi tumpuan utama terhadap sektor-sektor strategik termasuk elektrik dan elektronik, ekonomi hijau, ekonomi biru dan ekonomi jingga yang dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan baharu dan berpotensi tinggi,” katanya.



