'Bukan pilihan saya adakan PRN Johor' – Anwar

'Bukan pilihan saya adakan PRN Johor' – Anwar

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bukan pilihan beliau untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika masalah rakyat masih belum selesai.

Katanya, keutamaannya kini memulihkan ekonomi rakyat dan bukannya mengadakan PRN, namun PH terpaksa menuruti keinginan kerajaan negeri Johor yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membolehkan PRN berlangsung.

“Kita (Kerajaan Pusat) belum bersedia mengadakan pilihan raya, tengok dulu keadaan barulah buat pilihan raya. Rakan komponen bersedia untuk menghadapi cabaran PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Sebab apa… sebab kita nak jaga negara, tumpu kepada ekonomi negara. Isu global masih belum reda seperti Selat Hormuz masih belum dibuka sepenuhnya, masalah perumahan dan sebagainya.

“Nak adakan pilihan raya di Johor, itu pilihan mereka. Saya tiada pilihan, dia nak buat pilihan raya… saya OK,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera PH bagi PRN Johor di sini, malam ini.

Anwar berkata, Johor adalah negeri majoriti kerusi didominasi Barisan Nasional (BN) berbanding Negeri Sembilan yang hanya berbeza dua dengan tempohnya belum mencapai tiga tahun.

“Jadi mereka (BN) mahukan pilihan raya, kita teruskan. Dalam PRN ini, kita serahkan balik mandat kepada rakyat, biar rakyat buat pilihan.

“Saya datang untuk ajak rakan di Johor bekerjasama bukan untuk bermusuh politik. Kita kena ada politik yang stabil, jangan anggap mudah, lihatlah seperti negara lain yang terpaksa beratur untuk membeli bahan api.

“Kita harus utamakan keinginan rakyat, kita juga perlukan kerajaan satu hala kerana manfaatnya jauh lebih baik,” katanya.

Mengulas PRN kali ini, Anwar berkata, pengalaman di Johor memberi banyak pengajaran kepada PH, khususnya dalam menghadapi perubahan sentimen pengundi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top