Kempen Tabung Pahlawan kutip RM3.5 juta setakat ini, lepasi sasaran awal

Kempen Tabung Pahlawan kutip RM3.5 juta setakat ini, lepasi sasaran awal

Kuala Lumpur: Sebanyak RM3.5 juta berjaya dikutip bagi Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 setakat ini sekali gus melepasi sasaran awal RM3 juta, kata penaung kempen berkenaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isteri Perdana Menteri itu berkata, jumlah itu berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak sejak kempen kebajikan berkenaan dilancarkan pada Ogos tahun lepas.

“Kita dapat lebih RM3.5 juta, tapi dengan harga (kos semasa) meningkat, kita kena ubah ia (sasaran) kembali. Namun apa yang diperlukan adalah derma berterusan untuk sama dengan situasi semasa,” katanya kepada pemberita pada Program Larian Amal My Warriors Run 2026 di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Dr Wan Azizah menyeru orang ramai supaya terus memberikan sumbangan dan perhatian kepada kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandangkan keperluan kebajikan mereka semakin meningkat selari dengan faktor usia.

“Apa yang kita perlukan adalah untuk derma yang berterusan kerana veteran-veteran ini apabila dah lanjut usia, mereka lebih memerlukan keprihatinan.

“Jasa yang mereka berikan kepada negara, keamanan selama ini kita jangan lupakan. Kita duduk selesa kerana mereka yang sepatutnya diberikan penghargaan,” katanya.

Mengenai larian amal itu, Dr Wan Azizah menzahirkan penghargaan atas sokongan pelbagai pihak terutamanya sektor korporat dan pengamal media yang membantu menyebarkan kesedaran kepada masyarakat.

Sebanyak 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai larian berkenaan yang antaranya bertujuan mengumpul dana bagi Kempen Tabung Pahlawan.

Larian sejauh tujuh kilometer itu bermula dan berakhir di Dataran DBKL, melibatkan laluan sekitar pusat bandar raya termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kempen Tabung Pahlawan adalah inisiatif utama kerajaan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bagi mengumpul dana kebajikan untuk membantu veteran ATM serta keluarga mereka yang memerlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top