Batu Pahat : Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengadakan lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Taman Nira, di sini, hari ini bagi meninjau pelaksanaan program pusat berkenaan bersama komuniti setempat.
Fahmi menerusi hantaran di laman facebook berkata beliau meninjau sesi bengkel yang diadakan seperti AI Workshop & Gemini (Simple Google AI Skills for Everyday Work) yang disertai oleh komuniti setempat.
Program itu memberikan pendedahan asas dan praktikal kepada peserta berkenaan penggunaan kecerdasan buatan (AI) melalui Google Gemini dan Google Workspace.
“Penggunaan AI tersebut akan memudahkan tugasan harian, termasuk penulisan e-mel, penyediaan draf kerja, penjanaan idea serta komunikasi yang lebih pantas dan efisien. Sesi ini turut menekankan penggunaan prompt yang lebih tepat bagi memanfaatkan AI dengan lebih berkesan.
“Selain itu, inisiatif saringan kesihatan di NADI di sini turut menggunakan teknologi digital – AirDoc yang dilaksanakan untuk komuniti setempat bagi memperluaskan akses kepada pemeriksaan kesihatan yang mudah, cepat dan menyeluruh melalui pendekatan digital,” katanya.
Beliau berkata, NADI yang adalah inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sentiasa komited memperkukuh peranan pusat berkenaan sebagai pusat komuniti digital yang inklusif dengan sokongan berterusan Kementerian Komunikasi untuk memastikan ia kekal relevan sebagai platform yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




