mhafis@mediaprima.com.my
Tapah: Pendaki, Jaslinda Saludin, 49, menemukan nota yang ditinggalkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busuk sebaik tiba di kawasan itu kelmarin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Jaslinda yang ditemukan semalam membawa nota itu dibawa keluar bersamanya sebelum ditunjukkan kepada pihak bomba.
Menurutnya, nota berkenaan ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) Hafis di Kem Air busuk semasa membuat pencarian di kawasan berkenaan di mana fokus pencariaan bermula dari Pos Musoh ke Kem Air Busok pada 30 Mei lalu.
“Jaslinda pula hanya sampai ke kawasan berkenaan 5 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan nota itu, MGP Hafis menyampaikan pesan kepada Jaslinda iaitu ‘Kak Jas Please Stay Satu Tempat, Orang Ramai mencari.”
Terdahulu media melaporkan, Jaslinda yang hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih di Tapah, Perak ditemui selamat petang semalam.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun, Jaslinda kemudian dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd




