razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Rakaman dan maklumat yang tular di media sosial berkenaan fenomena penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah baru-baru ini dilihat lebih konsisten dengan aktiviti berkaitan roket pada altitud tinggi berbanding kejadian meteor semula jadi.
Felo Penyelidik, pakar dalam Astrobiologi, Pusat Sains Angkasa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr B Kuhan Chandru berkata, fenomena seperti itu sebenarnya semakin kerap berlaku berikutan peningkatan jumlah pelancaran roket dan satelit yang mengorbit bumi.
“Oleh itu, ia bukan sesuatu yang luar biasa. Walaupun ada kejadian yang kelihatan pelik atau luar biasa, sains sentiasa menanganinya melalui pemerhatian, pengumpulan data dan analisis.
“Ada kalanya penjelasannya sudah diketahui dan ada juga yang masih dalam siasatan. Begitulah cara sains berkembang iaitu dengan menambah pengetahuan secara berterusan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Kuhan berkata, setakat ini pelancaran roket adalah kemungkinan yang lebih munasabah, khususnya pada altitud tinggi yang boleh menghasilkan kepulan bercahaya atau awan bercahaya dan boleh dilihat dari jarak yang sangat jauh.
“Kedudukan geografi Sabah yang menghadap Laut China Selatan juga memungkinkan penduduk melihat aktiviti roket pada altitud tinggi yang berlaku di kawasan negara jiran,” katanya,
Bagaimanapun katanya, pengesahan yang tepat memerlukan data penjejakan orbit, analisis trajektori dan pengesahan masa kejadian.
“Pada peringkat ini, saintis dan pihak berkuasa perlu berhati-hati sebelum mengaitkan fenomena itu secara muktamad dengan mana-mana pelancaran roket tertentu,” katanya.
Tambahnya, dalam kebanyakan kes, fenomena seperti ini tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam, terutama jika ia berkaitan dengan ekzos roket pada altitud tinggi atau aktiviti orbit.
“Pemerhatian seperti ini masih perlu didokumentasikan dan dilaporkan melalui saluran saintifik atau pihak berkuasa yang mempunyai pangkalan data berkaitan.
“Rakaman video, gambar dan pemerhatian orang awam boleh menjadi sangat berguna untuk tujuan pengesahan dan analisis saintifik. Selain itu, saintis warga (citizen scientist) juga boleh memainkan peranan penting dalam proses ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) mengesahkan menerima maklumat awal mengenai laporan penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah pada malam Khamis (4 Jun).
MOSTI menerusi satu kenyataan memaklumkan tiada laporan rasmi mengenai penemuan sebarang serpihan objek disyaki objek angkasa seperti roket di darat atau perairan setakat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




