nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) melancarkan portal TerengganuTravel.com bagi mempromosikan ekosistem pelancongan di negeri itu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pembangunan dan pelancaran portal itu bagi menyediakan platform tempahan dalam talian (OTA) yang bersepadu.
“Ia juga menyokong pemerkasaan ekonomi pengusaha pelancongan tempatan menerusi sistem pengurusan inventori digital.
“Inisiatif ini sekali gus memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dan pelancongan sukan air atau selaman bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran Pakej Promosi Scuba Diving Sempena Ekspo Selam Antarabangsa Malaysia (MIDE) 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini, hari ini.
Razali berkata, terdapat kelainan dan pembaharuan dalam program berkenaanmenerusi sistem ejen pelancongan dalam talian tempatan pertama yang dikawal selia sepenuhnya oleh ekosistem vendor tempatan.
“Selain itu, operator selaman mempunyai akses penuh kepada inventoru mereka untuk menetapkan harga, jadual perjalanan, kapasiti dan waktu operasi secara ‘real time’ (masa sebenar).
“Terdapat penyediaan khidmat bimbingan operasi dan pengurusan tempahan terus bagi pihak pengusaha pelancongan komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, portal itu memberi fokus khusus dalam mempromosikan lokasi atau lubuk selaman yang berpotensi tinggi namun belum popular dalam kalangan pelancong seperti Pulau Bidong, Pulau Yu Besar dan Pulau Yu Kecil.
“Melalui kolaborasi strategik bersama operator selaman tempatan, pelbagai pakej berkonsepkan nilai tambah silang budaya akan diperkenalkan.
“Ini termasuk Pakej Selaman Eksklusif; Selaman dan Kebudayaan; Selaman dan Warisan; Selaman dan Kesenian serta Selaman dan Pengalaman Komuniti,” katanya.
Menurutnya, portal itu juga platform OTA menghimpunkan produk dan perkhidmatan pelancongan pelancong daripada pelbagai vendor.
“Ia merangkumi pakej pelancongan, penginapan, pengangkutan, aktiviti, selaman skuba dan produk pelancongan lain yang boleh diuruskan secara terus oleh vendor masing-masing sama seperti OTA global lain.
“Pakej-pakej pelancongan premium akan dibangunkan dan dikendalikan oleh Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd bersama rakan strategik.
“Pakej ini akan memberi tumpuan kepada pengalaman pelancongan berkualiti tinggi, produk ‘niche’ serta program khas yang memberi nilai tambah tinggi kepada pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.
Selain itu, katanya, inisiatif terbabit memberi fokus kepada pembangunan CBT yang diusahakan oleh komuniti tempatan di seluruh Terengganu.
“Kebanyakan pengusaha komuniti memerlukan bimbingan dan sokongan dari segi pemasaran, operasi serta pengurusan tempahan.
“Justeru itu, pasukan TerengganuTravel.com akan menyediakan khidmat bimbingan rapat serta mengendalikan urusan tempahan dan koordinasi bagi pihak komuniti untuk memastikan pengalaman pengunjung lancar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




