SHAH ALAM – Rakyat Johor diseru membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan memilih kepimpinan yang berintegriti, bebas rasuah dan mengutamakan kebajikan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Johor merupakan negeri yang kaya dan sedang menerima pelbagai projek pembangunan besar hasil kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, termasuk pelabuhan baharu, pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), lebuh raya, Forest City, Sistem Transit Rapid (RTS) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Justeru, beliau berkata, setiap projek yang diluluskan perlu berteraskan kepentingan rakyat dan bukannya menjadi medan untuk mengaut keuntungan peribadi atau komisen.
“Ini masalah kita yang kita warisi. Dulu tidak boleh cakap pasal itu, kalau ada projek, sakau. Jikalau ada kepentingan, projek-projek besar, (minta) komisen. Saudara, saudara boleh tidak bersetuju dengan saya dalam 101 perkara.
“Orang boleh mendengar saya dimaki dari pagi hingga malam. Tetapi saya tidak mengkhianati amanah dan saya tidak mencuri wang rakyat. Kita dan pasukan kita dalam Jemaah Menteri jelas. Inilah yang kita sebut sejak awal, iaitu tadbir urus yang baik, tatakelola,” ujarnya.
Beliau berkata sedemikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Johor 2026 di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat, Johor pada Ahad.
Anwar berkata, setiap projek pembangunan yang dilaksanakan perlu mengambil kira kebajikan rakyat termasuk peluang pekerjaan, gaji yang lebih baik, perumahan mampu milik dan pendidikan anak-anak.
Justeru, menurutnya, kerajaan tidak boleh mengulangi budaya lama yang mengaitkan projek pembangunan dengan kepentingan peribadi serta amalan rasuah.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan yang erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.
“Saya bayangkan jika wujud kerjasama yang lebih rapat antara kerajaan Persekutuan dan negeri, bukan sahaja projek besar dapat dilaksanakan, malah manfaatnya dapat dirasai terus oleh rakyat,” katanya.
Anwar memberitahu, sambutan luar biasa diterima pada program tersebut membuktikan rakyat Johor mahukan perubahan dan bersedia memberikan sokongan kepada agenda reformasi yang dibawa kerajaan Madani.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati ahli parti komponen PH supaya berkempen secara matang dan tidak bergeseran dengan Barisan Nasional (BN) sepanjang PRN Johor.
Menurutnya, perbalahan ketika pilihan raya hanya akan ‘memeningkan kepala’ memandangkan PH dan BN merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Hari ini kita berlawan dengan UMNO, BN. Hari Rabu, mesyuarat Jemaah Menteri. Kita bersebelah. Bersama-sama. Pening kita,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, pilihan raya tersebut bukanlah pilihan yang diinginkannya kerana beliau mahu kerjasama sedia ada diteruskan demi kepentingan rakyat.
“Ini bukan pilihan saya. Pilihan saya, terus kerjasama, jaga negeri ini. Pilihan saya, tangguh semua pilihan raya dan tumpu kerja untuk menyelamatkan ekonomi rakyat.
“Seperti mana kata Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu), nak kawan kita kawan, nak lawan kita lawan,” katanya.



