Jemaah wanita Indonesia pulang dari Makkah dengan gaya ‘bergemerlapan’

Jemaah wanita Indonesia pulang dari Makkah dengan gaya ‘bergemerlapan’
Jemaah wanita Indonesia pulang dari Makkah dengan gaya ‘bergemerlapan’

Jemaah haji wanita bergaya dengan pakaian masing-masing ketika berada di ruang menunggu Terminal D2, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah. – Agensi

JEDDAH – Suasana di ruang menunggu Terminal D2, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah bertukar meriah apabila sekumpulan jemaah haji dari Gowa, Sulawesi Selatan mencuri perhatian dengan penampilan bergemerlapan ketika menanti penerbangan pulang ke tanah air.

Jemaah yang berada dalam rombongan jemaah haji 5 UPG (Makassar) itu tampil dengan busana berhias manik dan pakaian berkilauan yang disiapkan khas sebagai tanda meraikan tamatnya ibadah haji mereka.

Ruang menunggu yang lazimnya tenang bertukar seolah-olah pentas pertunjukan fesyen apabila beberapa jemaah menukar pakaian santai kepada busana khas penuh hiasan kilauan, sekali gus menarik perhatian jemaah lain di lapangan terbang tersebut.

Seorang jemaah, Suryani,46, berkata, pakaian tersebut telah disediakan sejak dari Indonesia, manakala aksesori tambahan dibeli di Tanah Suci sebagai simbol kesyukuran selepas selesai menunaikan ibadah haji.

“Memang tanda kesyukuran kami kerana telah menyempurnakan ibadah haji. Kami pulang dengan penampilan ini supaya dapat bertemu keluarga dalam keadaan yang istimewa,” katanya.

Beliau turut mengakui perjalanan ibadah haji penuh dengan cabaran dan pengorbanan, namun segala kepenatan itu terbayar apabila berjaya menyempurnakan rukun Islam kelima tersebut.

“Alhamdulillah, ada suka duka bersama jemaah lain, dan syukur dapat kembali bertemu keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jemaah, Nurina,60, turut mencuri perhatian dengan busana elegan sebagai tanda kesyukuran selepas menunggu giliran menunaikan haji selama kira-kira 1.5 dekad.

“Ini adalah salah satu bentuk kesyukuran dan terima kasih kepada Allah SWT. Semoga memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Fenomena jemaah berpakaian glamor ketika kepulangan ini sekali lagi menjadi tumpuan masyarakat Indonesia.-Agensi

Mesti Baca

Scroll to Top