Sze Fei-Izzuddin takluk Istora Senayan sekali lagi

Sze Fei-Izzuddin takluk Istora Senayan sekali lagi

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan momentum cemerlang mereka apabila berjaya ‘membisukan’ ribuan penyokong tuan rumah di Istora Senayan dengan menewaskan gandingan Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin pada final Terbuka Indonesia, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila pasangan negara dipaksa bekerja keras sebelum bangkit mencatat kemenangan 13-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 49 minit.

Kekalahan pada set pertama nyata tidak mematahkan semangat Sze Fei-Izzuddin yang tampil lebih agresif dan konsisten pada dua set berikutnya untuk mengubah rentak permainan serta menguasai gelanggang.

Kejayaan itu membolehkan beregu nombor tujuh dunia berkenaan mengulangi pencapaian mereka sebelum ini apabila muncul juara dengan menewaskan lawan yang sama pada Masters Indonesia di Istora Senayan, Januari lalu.

Malah, kemenangan itu turut mengukuhkan status mereka sebagai antara beregu paling konsisten di pentas antarabangsa musim ini.

Bagi tahun ini, ia juga adalah penampilan final ketiga buat Sze Fei-Izzuddin selepas turut mara ke pentas akhir Masters Malaysia bulan lalu.

Gelaran juara di Jakarta itu pastinya menjadi suntikan keyakinan buat pasangan negara berkenaan menjelang beberapa kejohanan utama yang bakal diharungi selepas ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top