am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Masalah kewangan yang dihadapi seorang remaja perempuan dari Jalan Kebun Sultan, di sini, untuk mendaftar pengajian ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedikit lega apabila menerima bantuan dari pelbagai pihak.
Sejak kisah Nur Qaira Damia Amir Abdullah, 18, disiarkan Khamis lalu, ramai yang tampil membantu sama ada secara bersemuka atau membuat sumbangan menerusi akaun bank.
Menurut ibunya, Farahnorhuda Mohd Zawawee, 45, kebimbangan berhubung kos untuk membuat persediaan serta membayar yuran pendaftaran yang dirasai sejak seminggu lalu ibarat hilang sekelip mata dengan bantuan yang diterima.
“Selepas mendapat tawaran dari UMT dalam jurusan Diploma Perikanan, saya menasihatkan Qaira (Nur Qaira Damia) untuk menerima tapi sebaik mengetahui jumlah yuran pendaftaran, baru timbul rasa bimbang.
“Bagaimanapun saya tetap positif selain terus memberi sokongan kepada Qaira dengan memujuknya pasti ada jalan penyelesaian dan rupanya Allah membantu dengan hadirkan ramai orang baik.
“Rasa buntu sejak seminggu lalu sudah hilang apabila ramai yang tampil membantu dan sumbangan yang disalurkan juga kami gunakan untuk keperluan lain seperti membeli peralatan sekolah dua adik Qaira,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya, malam tadi.
Farahnorhuda berkata, memandangkan sumber kewangan sudah ada, dia akan menyegerakan persiapan untuk Nur Qaira Damia bagi mendaftar di UMT pada 21 Jun nanti.
Media sebelum ini melaporkan kisah Nur Qaira Damia dan kakaknya, Nur Zarra Dania, 19, yang terpaksa bekerja sambilan untuk mencari pendapatan sebagai persediaan memasuki institusi pengajian tinggi masing-masing.
Nur Qaira Damia tujuh beradik bergantung kepada ibunya yang mengambil upah mencuci pinggan di kedai makan manakala bapanya, Amir Abdullah Mohd Yusoff, 43, terlantar sejak empat tahun lalu akibat kencing manis kronik.
Kesukaran yang dialami Nur Qaira Damia mendapat perhatian pengurusan UMT apabila keluarga terbabit dikunjungi Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim, malam tadi untuk menyampaikan bantuan yang disediakan kepada pelajar itu.
Bantuan yang diberikan adalah sumbangan Zakat Asnaf bernilai RM1,000; Bingkas Kasih (RM200); sumbangan Dapo@Maidam bernilai RM300 untuk sepanjang pengajian serta dana bantuan sara hidup sebanyak RM300.
Dr Mohd Zamri berkata, bantuan yang disediakan itu adalah bagi meringankan beban pelajar sekali gus mengelakkan mereka yang layak tercicir daripada meneruskan pengajian.
“Untuk bayaran yuran pendaftaran pula, kita minta Nur Qaira hadir dahulu ke kampus dan selepas itu akan dibincangkan berkaitan perkara terbabit malah ada lagi bantuan lain yang akan menyusul bergantung kepada kelayakannya.
“Kita juga peka dengan kesukaran untuk Nur Qaira dan keluarganya hadir semasa hari pendaftaran nanti jadi kami akan menyediakan pengangkutan bagi mereka ke Terengganu,” katanya yang diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Turut hadir dalam kunjungan adalah pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) ECJ Cares, Auni Ibrahim yang menyerahkan sumbangan komputer riba untuk kegunaan pelajar berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




