am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mengesahkan hantaran tular di Facebook berkenaan sebuah kapal terbang yang didakwa tersadai berdekatan Sungai Kandis (Sungai Klang) di Seksyen 36, Shah Alam adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol mengesahkan perkara itu selepas pihaknya menjalankan siasatan di lokasi dan mendapati tiada sebarang pesawat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, polis terdahulu menerima maklumat berhubung kejadian tular di Facebook yang mendakwa sebuah kapal terbang tersadai di tepi Sungai Kandis Seksyen 36 kira-kira 11.55 pagi, semalam.
Katanya, pemilik akaun itu membuat hantaran ‘Apalah kapal terbang tu buat dekat tepi Sungai Klang di Sungai Kandis’
“Usaha mengesan dan menjejaki ‘kapal terbang’ yang dimaksudkan dijalankan oleh pihak polis. Pencarian dijalankan di sekitar kawasan yang dinyatakan pada koordinat dalam hantaran berkenaan.
“Hasil semakan mendapati tiada sebarang pesawat tersadai seperti disebarkan oleh pemilik akaun Facebook justeru, kenyataan atau dakwaan yang di buat oleh pemilik akaun facebook tersebut adalah palsu.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




