Kata-kata boleh membunuh – Viviana

Kata-kata boleh membunuh – Viviana

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga peserta Talk To My Manager Musim kedua (TTMM2), Wirda Viviana Zairi mengingatkan netizen agar tidak melakukan buli siber terhadap peserta lain hanya disebabkan dia tersingkir di minggu suku akhir program berkenaan.

Katanya, hal demikian kerana keenam-enam peserta dan pengurus mereka juga melakukan yang terbaik untuk bertahan dalam pertandingan berkenaan.

“Saya nak tekankan, jangan buli adik, kakak dan abang saya dalam TTMM2. Semua ini aturan Allah. Jangan bandingkan mereka.

”Bakat tidak boleh dinilai. Janganlah marah peserta lain apabila saya tersingkir, mereka pun melakukan yang terbaik. Saya nampak usaha mereka

”Ingat, kata-kata itu boleh membunuh. Jadi berhati-hatilah menulis komen. Kita tak tahu bagaimana sukarnya orang itu untuk sampai ke tahap ini. Jangan ada kebencian, hanya komen positif sahaja,” katanya.

Perjalanan Wirda dalam pertandingan tersebut ternoktah apabila dia yang membawakan lagi Jai Ho pada konsert semalam, menduduki tangga tercorot.

Namun ibunya, Ani Mayuni berharap tidak ada komen-komen ‘menghiris jiwa’ ditulis di media sosial kerana setiap peserta berusaha yang terbaik untuk sampai ke tahap ini.

“Mereka juga berusaha gigih seperti mana kami. Bak kata Viviana, jangan buli siber mereka. Bagi mereka sokongan.

“Industri seni kita perlukan sokongan anda untuk berdiri setaraf negara lain. Jadi berilah sokongan,” kongsinya.

 

Scroll to Top