England tak risau cuaca panas

England tak risau cuaca panas

Tampa: Kapten skuad kebangsaan England, Harry Kane menegaskan faktor cuaca panas tidak akan merencatkan rentak pasukannya menjelang kempen Piala Dunia berikutan program latihan rapi yang dijalani mereka.

Skuad The Three Lions yang kini menghuni tangga keempat dunia dijadual membuka tirai kejohanan menentang Croatia di Arlington, Texas pada 17 Jun ini.

Sebagai persiapan terakhir, mereka bakal mengharungi aksi pemanas badan menentang Costa Rica di Orlando, Florida pada Rabu ini.

Kane memaklumkan perkara itu selepas membantu pasukannya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas New Zealand pada aksi persahabatan, semalam.

“Sejujurnya, saya rasa cuaca panas di sini tidaklah begitu teruk,” katanya.

Penyerang berusia 32 tahun itu muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi tandukan menarik pada masa kecederaan babak pertama.

Jaringan itu gol ke-67 peribadinya tahun ini untuk kelab dan negara ketika suhu di Tampa dilaporkan melepasi 32 darjah Celsius.

Mengulas lanjut, bintang sensasi Bayern Munich itu menjelaskan rakan sepasukannya sudah mula serasi dengan keadaan cuaca di Amerika Syarikat (AS).

“Sudah tentu kami semakin terbiasa dengan keadaan ini semasa sesi latihan dan selepas beberapa hari pertama, saya lihat majoriti pemain mula selesa.

“Malah, semasa perlawanan semalam keadaannya tidaklah seteruk yang disangka, jadi saya rasa isu cuaca ini tidak perlu terlalu diperbesarkan.

“Kami semua adalah atlet profesional dan telah melakukan persiapan terbaik untuk kejohanan ini bersama barisan kejurulatihan,” katanya.

Kane yang memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman England dengan 79 gol dalam 113 penampilan optimis pasukannya akan berada pada tahap optimum.

“Kami ada kira-kira 10 hari lagi sebelum perlawanan pertama untuk terus berlatih dalam persekitaran ini, jadi menjelang kejohanan nanti cuaca bukan lagi satu halangan,” katanya.

Selepas aksi menentang Croatia, England akan meneruskan saingan Kumpulan L berdepan Ghana di Foxborough, Massachusetts pada 23 Jun, sebelum menentang Panama di East Rutherford, New Jersey pada 27 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top