kartika@mediaprima.com.my
Shah Alam: Kerajaan mahu lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini melihat sendiri bagaimana teknologi 5G Standalone (5G-SA) dapat meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti perniagaan sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan yang boleh dipertimbangkan sebagai insentif baharu dalam Belanjawan 2027.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menggalakkan pemain industri dan PMKS melawat Gudang Pintar Termaju milik CelcomDigi bagi menilai sendiri manfaat penggunaan teknologi 5G, automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi perniagaan.
“Kita mahu syarikat PMKS melihat sendiri apa yang boleh dimanfaatkan dengan teknologi 5G bagi kegunaan mereka dan kita juga mahu mengadakan perbincangan supaya beberapa perkara boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan.
“Jika ada bentuk bantuan atau insentif yang sesuai untuk menggalakkan penggunaan teknologi ini, ia boleh dipertimbangkan tertakluk kepada keputusan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Gudang Pintar Termaju CelcomDigi di Hap Seng Business Park, di sini, hari ini.
Gudang Pintar Termaju itu adalah kemudahan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi 5G-SA bagi operasi logistik dan pergudangan, sekali gus menjadi kes penggunaan perniagaan ke perniagaan (B2B) perindustrian pertama negara yang dikuasakan sepenuhnya oleh teknologi berkenaan.
Kemudahan itu direka untuk menunjukkan bagaimana gabungan rangkaian 5G-SA, AI, robotik dan automasi mampu mengubah operasi gudang serta rantaian bekalan dengan meningkatkan produktiviti, keselamatan dan kecekapan pada skala yang lebih besar.
Fahmi berkata, penggunaan teknologi berkenaan berjaya mengoptimumkan penggunaan ruang sebanyak 30 peratus, meningkatkan kecekapan operasi lebih 50 peratus serta mencapai ketepatan inventori sehingga 100 peratus.
Katanya, teknologi yang digunakan di gudang berkeluasan 10,000 kaki persegi itu membolehkan kapasiti penyimpanan setanding gudang konvensional yang memerlukan ruang sehingga 3,716 meter persegi.
“Daripada apa yang ditunjukkan hari ini, terdapat penjimatan yang sangat besar dari segi penggunaan ruang tanpa menjejaskan jumlah barangan yang boleh disimpan.
“Malah aspek keselamatan juga lebih baik kerana setiap barang dapat dipantau dan disahkan tempoh penyimpanannya dalam gudang,” katanya.
Beliau berkata, salah satu kekuatan utama teknologi 5G ialah keupayaannya membolehkan lebih banyak peranti berkomunikasi secara serentak dengan tahap kependaman yang rendah berbanding rangkaian 4G atau Wi-Fi.
Menurutnya, kelebihan itu amat penting dalam persekitaran industri seperti gudang dan kilang yang semakin bergantung kepada penggunaan Internet Kebendaan (IoT), sensor pintar serta sistem automasi.
“Apabila mesin dan sistem perlu berkomunikasi dengan pantas, 5G menawarkan keupayaan yang jauh lebih baik disebabkan itu teknologi ini sangat sesuai dimanfaatkan oleh PMKS dan sektor industri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata liputan rangkaian 5G kini melepasi 84 peratus kawasan berpenduduk termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, kerajaan menyasarkan liputan 4G mencapai 100 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2030 manakala liputan 5G dijangka mencecah 98 peratus dalam tempoh sama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, Gudang Pintar Termaju itu membuktikan bagaimana penggunaan 5G-SA pada skala komersial mampu menyelesaikan cabaran operasi sebenar serta mewujudkan nilai yang signifikan kepada perniagaan.
“Ketika industri mempercepatkan penggunaan AI dan automasi, keterhubungan termaju menjadi asas kritikal kepada operasi masa depan.
“Gudang ini menunjukkan bagaimana gabungan keterhubungan, penyelesaian digital dan inovasi komersial dapat meningkatkan produktiviti, keselamatan dan daya tahan operasi perusahaan,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan dibangunkan bersama rakan teknologi termasuk Move Robotics, Infinium Robotics, Ailytics, Cobra Security Electronics (CSE) dan ZTE yang menyediakan kepakaran dalam robotik autonomi, pengurusan inventori menggunakan dron, analitik video berasaskan AI, pengurusan kenderaan terhubung serta teknologi kembar digital.
Gudang itu mengintegrasikan enam penyelesaian logistik pintar iaitu Sistem Pengurusan Gudang (WMS), Sistem Anjung Palet Autonomi, Kenderaan Panduan Automatik (AGV) berkuasa 5G, Sistem Pengawasan Visual berasaskan AI, Sistem Dron Autonomi AI dan Platform Digital Nebula.
Albern berkata, kemudahan itu juga berfungsi sebagai makmal inovasi yang membolehkan perusahaan mengalami sendiri, menilai serta membangunkan aplikasi praktikal berasaskan 5G dan AI mengikut keperluan operasi masing-masing.
Pelancaran Gudang Pintar Termaju itu meneruskan usaha CelcomDigi dalam memperluaskan penggunaan logistik pintar selepas kejayaan kerjasama dengan DHL Supply Chain pada 2023 bagi meneroka penyelesaian logistik berasaskan teknologi 5G.
© New Straits Times Press (M) Bhd




