razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Angka 1,079 kes bunuh diri yang direkodkan sepanjang tahun lalu disifatkan sebagai suatu yang serius, sekali gus isyarat jelas bahawa isu kesihatan mental di negara ini masih memerlukan perhatian serta tindakan lebih menyeluruh daripada semua pihak.
Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad berkata, setiap kes bunuh diri bukan sekadar statistik, sebaliknya mewakili kehilangan nyawa yang memberi kesan mendalam kepada keluarga, rakan dan masyarakat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Mental dan Psikososial UKM berkata, walaupun angka itu perlu dilihat dalam konteks jumlah populasi negara, ia tetap tidak boleh dipandang ringan kerana menunjukkan masih ramai individu berdepan tekanan hidup dan gagal menanganinya dengan baik.
“Bunuh diri bukan hanya berkaitan masalah kesihatan mental, semata-mata sebaliknya dipengaruhi pelbagai faktor yang saling berkait termasuk tekanan hidup, konflik keluarga, masalah kewangan, hubungan sosial yang lemah dan kekurangan sokongan sosial.
“Angka ini seharusnya menjadi peringatan bahawa usaha memperkukuh kesedaran, mengurangkan stigma serta meningkatkan akses kepada sokongan psikososial dan kesihatan mental perlu terus diperkasakan,” katanya.
Mengulas punca kes bunuh diri yang masih tinggi, beliau berkata, kesedaran semata-mata tidak mencukupi sekiranya ia tidak diterjemahkan kepada tindakan mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah emosi dan psikologi.
“Stigma terhadap masalah kesihatan mental masih menjadi halangan utama apabila ramai individu memilih untuk memendam perasaan dan enggan mendapatkan bantuan profesional kerana bimbang dipandang negatif oleh masyarakat.
“Selain itu, tekanan hidup yang semakin kompleks turut menyumbang kepada peningkatan risiko, termasuk masalah kewangan, beban pekerjaan, konflik rumah tangga, kegagalan hubungan, pengaruh negatif media sosial dan pengasingan sosial,” katanya.
Mohd Suhaimi berkata, terdapat juga individu yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan profesional pada waktu yang diperlukan atau tidak mempunyai sistem sokongan yang kukuh sehingga merasakan diri mereka tiada harapan dan jalan penyelesaian.
Beliau berkata, pencegahan bunuh diri adalah tanggungjawab bersama semua pihak termasuk kerajaan, sekolah, institusi pendidikan, majikan dan keluarga.
“Kerajaan perlu memastikan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial mudah diakses, cepat dan mampu dimiliki, termasuk memperkukuh talian bantuan 24 jam serta menambah tenaga profesional yang memainkan peranan penting dalam saringan, rawatan dan intervensi awal.
“Di sekolah dan institusi pendidikan, pendidikan kesedaran kesihatan mental perlu diperkukuhkan dengan pengesanan awal pelajar berisiko serta bekerjasama rapat dengan kaunselor, guru dan pasukan profesional kesihatan mental,” katanya.
Pada masa sama, majikan perlu mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan sejahtera dari segi psikososial, mengurangkan tekanan kerja yang melampau dan menyediakan sistem sokongan pekerja yang melibatkan pelbagai disiplin seperti kaunseling, psikologi dan kerja sosial.
“Keluarga perlu kekal sebagai sistem sokongan sosial paling dekat dan sentiasa mengamalkan komunikasi terbuka, menyokong emosi dan peka terhadap perubahan tingkah laku ahli keluarga.
“Sementara itu, masyarakat perlu mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental, lebih peka terhadap tanda amaran dan berani mengambil peranan untuk membantu dan merujuk individu yang mempunyai masalah mental kepada perkhidmatan profesional yang bersesuaian,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan Malaysia masih berdepan cabaran serius dalam menangani isu bunuh diri apabila sebanyak 1,079 kes direkodkan sepanjang tahun lalu, walaupun menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan trend peningkatan kes bunuh diri sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebelum mencatat sedikit penurunan pada 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




