
Kepulangan Kapten Razman disambut oleh keluarga tercinta dan juga sahabat-sahabat seperjuangan GSF 2.0 di KLIA.
SHAH ALAM – Selepas 21 hari menjalani rawatan pembedahan susulan dikasari tentera Israel, aktivis kemanusiaan misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0, Razman Mat Ali telah selamat tiba di tanah air.
Kepulangan beliau disambut oleh keluarga tercinta dan juga sahabat-sahabat seperjuangan GSF 2.0 yang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi akaun rasmi Sumud Nusantara di Facebook, pihak GSF menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kepulangan aktivis itu ke tanah air.
“Alhamdulillah, Kapten Razman selamat tiba di Malaysia selepas menyertai misi GSF 2.0 yang membawa suara solidariti dan kemanusiaan untuk Gaza ke pentas dunia.
“Kepulangan beliau bukanlah penamat sebuah perjalanan, tetapi kesinambungan perjuangan untuk terus menyuarakan nasib rakyat Palestin dan membangkitkan kesedaran masyarakat,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.
Sinar Harian pada 25 Mei lalu melaporkan, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan kecederaan serius yang dialami oleh Razman amat berisiko menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Razman disahkan mengalami paru-paru bocor dan selamat menjalani pembedahan di Istanbul, Turkiye.
Menurut beliau, keadaan aktivis itu dilaporkan stabil dan memerlukan rawatan selama 21 hari di negara itu.
Mengulas lanjut, pihak GSF merakamkan setinggi penghargaan kepada beliau atas segala kecekalan dan keteguhan prinsip yang ditunjukkan sepanjang mengharungi cabaran getir dalam menjalankan misi tersebut.
“Terima kasih atas keberanian, pengorbanan dan komitmen dalam menjayakan misi kemanusiaan demi Gaza dan Palestin.
“Selamat pulang, Kapten. Perjuangan masih diteruskan,” ujarnya.



