KUALA TERENGGANU – Landskap politik tanah air kini menyaksikan perubahan drastik apabila perpecahan undi menyebabkan tiada lagi satu parti Melayu yang mampu mendominasi pentadbiran secara bersendirian seperti amalan tradisi sebelum ini.
Setiausaha Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu, Dr Azrie Azeh berkata, senario itu sekali gus mengurangkan kuasa tawar-menawar kolektif golongan berkenaan, selain menuntut pembentukan kerajaan campuran yang memerlukan kerjasama rentas parti serta etnik yang lebih luas.
Menurut beliau, sokongan politik Melayu yang dahulunya tertumpu kepada satu gabungan dominan kini telah terbahagi kepada beberapa parti utama termasuk UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta parti-parti lain yang mempunyai pengaruh tersendiri.
”Walaupun orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik terbesar di Malaysia, realiti politik baharu ini memaksa satu anjakan paradigma dalam corak kepimpinan.
”Perkara ini tidak semestinya melemahkan Melayu secara automatik. Sebaliknya, ia mengurangkan monopoli politik dan memaksa pemimpin Melayu bersaing berdasarkan prestasi, dasar dan integriti, bukan semata-mata bergantung kepada sentimen kaum,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa ketiadaan parti dominan turut menyumbang kepada kemunculan kerajaan campuran yang lebih rapuh.
“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, negara telah menyaksikan pertukaran kerajaan yang lebih kerap, kesukaran mencapai konsensus dasar, serta ketidakpastian hala tuju ekonomi yang berisiko menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kesinambungan projek pembangunan.
“Implikasi ketara daripada ketiadaan dominasi tunggal ini menyebabkan dasar berkaitan Melayu dan Bumiputera kini dinamik menjadi medan persaingan politik.
”Kesannya, dasar afirmatif dipertahankan dengan lebih agresif dan wujud tekanan memperluaskan bantuan kepada kelompok Melayu, sekali gus menyukarkan reformasi terhadap dasar yang dianggap sensitif.
”Cabaran utama jangka panjang adalah memastikan dasar tersebut benar-benar membantu golongan yang memerlukan tanpa mengetepikan usaha meningkatkan daya saing ekonomi negara,” ujarnya.
Beliau juga memberi amaran bahawa persaingan sengit untuk menunjukkan siapa lebih ‘Melayu’ atau ‘Islam’ adakalanya mengetepikan perbahasan dasar penting berkaitan produktiviti, pendidikan, inovasi dan daya saing ekonomi.
“Perpecahan ini turut membawa risiko eksploitasi isu kaum dan agama sebagai alat mobilisasi politik yang boleh meningkatkan polarisasi serta rasa curiga dalam masyarakat majmuk.
“Namun, dari sudut positif, ketiadaan kuasa mutlak pada satu-satu parti menyuburkan sistem semak dan imbang melalui politik berasaskan gabungan dan rundingan supaya lebih matang dalam pentadbiran,” ujar beliau.
Menyentuh mengenai cabaran masa depan, beliau berkata, situasi semasa sebenarnya mendedahkan krisis kepimpinan dalam kalangan elit politik Melayu untuk menampilkan figura yang mampu diterima merentas parti.
“Secara keseluruhannya, fenomena ketiadaan dominasi tunggal ini dinilai dalam dua dimensi iaitu impak negatif seperti mengurangkan kekuatan politik Melayu secara kolektif, mengakhiri monopoli dan dominasi sistem satu parti dan menyebabkan ketidakstabilan kerajaan campuran.
“Bagi impak positif pula ia dilihat dapat mengukuhkan demokrasi melalui persaingan sihat, meningkatkan risiko eksploitasi retorik kaum atau agama dan meningkatkan akauntabiliti pemimpin kepada pengundi,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, persoalan pokok yang perlu didepani bukanlah sama ada politik Melayu itu perlu bersatu atau berpecah, sebaliknya lebih kepada mewujudkan satu dasar demi kesejahteraan rakyat.
”Persoalan sebenar adalah sama ada persaingan tanpa dominasi tunggal ini mampu menghasilkan dasar yang meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh institusi negara dan menjamin masa depan masyarakat Melayu dalam konteks Malaysia yang majmuk serta dunia yang semakin kompetitif,” katanya.



