
Keadaan kenderaan yang dipandu suspek selepas merempuh sekumpulan murid.
TIRUVARUR – Tiga murid sekolah maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di daerah Tiruvarur, Tamil Nadu, India.
Ketika kejadian, empat murid terbabit sedang berjalan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan berhampiran Sekolah Menengah Tinggi Kerajaan Karakottai.
Menurut laporan media tempatan, sebuah kereta yang dipandu pada kelajuan tinggi tiba-tiba terbabas ke arah kumpulan pelajar berkenaan sebelum merempuh mereka.
Akibat kemalangan itu, tiga murid berusia 12 tahun maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Yogeswaran, Rachith dan Rajamurali, manakala murid yang cedera ialah Sidharth.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan penduduk Kampung Karakottai yang bertindak menutup jalan sebagai tanda bantahan.
Bagaimanapun, mereka bersurai selepas pihak polis memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.
Siasatan awal polis mendapati pemandu kereta terbabit dikenali sebagai Loganathan, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika dalam perjalanan dari Mannargudi menuju ke Thanjavur.
Polis turut mendapati lelaki itu memandu secara melulu sebelum hilang kawalan terhadap kenderaannya lalu merempuh empat murid berkenaan.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan Loganathan dan membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.



