Houston: Hujan lebat yang melanda Houston pada awal pagi tidak menghalang keterujaan penyokong Jerman dan Curacao yang hadir untuk menyaksikan aksi pembukaan Piala Dunia 2026 antara kedua-dua pasukan, malah ada yang lebih sibuk mencari bir berbanding baju hujan.
Ribut singkat yang berlaku beberapa jam sebelum sepak mula menyebabkan ramai penyokong yang tiba awal di perkarangan stadium terpaksa berteduh dan bergegas ke kedai berhampiran bagi mendapatkan payung serta baju hujan yang semakin kehabisan stok.
Penyokong Curacao, Caroline Sluys, yang hadir bersama anaknya dari negara Caribbean itu, mengakui mereka tidak menjangkakan cuaca berubah secara mendadak.
“Kami datang untuk membeli baju hujan dan payung disebabkan hujan ini.
“Tetapi ia tidak akan mematahkan semangat kami. Kami tetap akan menjerit dan bersorak kerana ini kali pertama Curacao layak ke Piala Dunia,” katanya.
Bagi penduduk tempatan, cuaca tidak menentu di Houston bukan sesuatu yang asing. Namun bagi penyokong luar negara, hujan deras itu nyata mengejutkan mereka walaupun tempat duduk berbumbung di stadium sedikit sebanyak memberi kelegaan.
Dalam masa sama, ada juga penyokong yang menganggap hujan bukanlah masalah utama.
“Kami sudah biasa dengan keadaan ini kerana cuaca di Jerman pun tidak begitu baik.
“Kami tak ada baju hujan. Kami sedang mencari bir,” kata Leon Baucke dari Munich yang hadir bersama sekumpulan rakannya.
Suasana santai itu menggambarkan kemeriahan Piala Dunia yang bukan sahaja menyajikan aksi di atas padang, tetapi turut menghadirkan pelbagai ragam penyokong dari seluruh dunia.
Bagi Curacao, penampilan sulung di pentas terbesar bola sepak dunia sudah cukup menjadi sebab untuk diraikan, walaupun terpaksa berdepan hujan sebelum perlawanan bermula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




