Panama, Croatia buru talian hayat

Panama, Croatia buru talian hayat

Toronto: Croatia tidak mempunyai pilihan selain meraih kemenangan apabila berdepan Panama dalam aksi penting Kumpulan L Piala Dunia di Stadium Toronto, awal pagi Rabu, bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Kedua-dua pasukan memulakan kempen dengan langkah sumbang apabila tewas dalam aksi pembukaan, menjadikan pertemuan itu ibarat perlawanan hidup mati terutama jika keputusan satu lagi aksi kumpulan memihak kepada lawan masing-masing.

Panama masih memburu kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia selepas tewas 0-1 kepada Ghana hasil jaringan lewat Caleb Yirenkyi pada masa kecederaan.

Kekalahan itu cukup mengecewakan buat anak buah Thomas Christiansen yang menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta 11 percubaan ke arah gol.

“Keputusan itu menyakitkan kerana kami sebenarnya berhak mendapat sesuatu daripada perlawanan itu,” kata Christiansen.

Panama yang layak ke kejohanan edisi 48 pasukan ini pada hari terakhir kempen kelayakan perlu memperkemaskan sentuhan penyudah mereka jika mahu mencipta kejutan ke atas Croatia.

Sementara itu, Croatia turut berada dalam tekanan selepas tewas 2-4 kepada England dalam aksi pertama di Dallas.

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, mengakui pasukannya tidak lagi mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan.

“Amat penting untuk kami kembali ke tahap sebenar selepas kekalahan ini. Kami tidak mempunyai hak untuk melakukan kesilapan lagi,” katanya.

Dalic turut mengkritik kelemahan benteng pertahanannya ketika situasi bola mati apabila dua gol England hadir menerusi sepakan penjuru.

Croatia yang muncul naib juara dunia pada 2018 dan menduduki tempat ketiga pada 2022 dijangka sekali lagi bergantung kepada ketajaman penyerang Petar Musa untuk merobek pertahanan Panama.

Pada masa sama, kapten berpengalaman Luka Modric dijangka memainkan peranan penting dalam mengemudi pasukan Balkan itu mencari tiga mata berharga.

Senario kumpulan turut menambah debaran apabila Croatia boleh tersingkir lebih awal sekiranya tewas dan Ghana menewaskan England.

Panama pula akan mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan jika tewas kepada Croatia dan England berjaya mengatasi Ghana.

Dengan nasib kedua-dua pasukan berada di hujung tanduk, pertemuan di Toronto dijangka berlangsung sengit kerana hanya kemenangan mampu memastikan impian mereka untuk mara ke pusingan kalah mati terus bernyawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top