GENEVA – Sebuah suruhanjaya siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa Israel menyasarkan kanak-kanak Palestin secara sengaja, selain melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Gaza serta Tebing Barat.
Laporan baharu itu menyatakan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Israel telah ‘secara sengaja melaksanakan tindakan yang menyebabkan kematian serta kecederaan fizikal dan mental serius terhadap ratusan ribu kanak-kanak Palestin’, dan pembunuhan itu didakwa berterusan walaupun selepas gencatan senjata pada Oktober tahun lalu.
Suruhanjaya berkenaan berkata ia mempunyai asas munasabah untuk menyimpulkan bahawa tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi untuk ‘memusnahkan masa depan rakyat Palestin di Gaza dengan menyasarkan kanak-kanak mereka’.
Kementerian luar Israel bagaimanapun menolak laporan itu secara keras dan menyifatkannya sebagai ‘propaganda yang keterlaluan’.
Dalam laporan terbaharu, suruhanjaya itu turut mendedahkan kanak-kanak Palestin di Gaza menjadi sasaran serangan secara langsung termasuk tembakan pada organ vital menggunakan dron dan penembak tepat, serta serangan udara terhadap kawasan kediaman, sekolah dan kem pelarian.
Ia turut menyatakan Israel bertanggungjawab gagal melindungi kanak-kanak Palestin di Tebing Barat daripada serangan tentera dan pendatang Israel.
Selain itu, laporan berkenaan mendedahkan kanak-kanak telah ditahan, diseksa dan dianiaya dalam pusat tahanan Israel, termasuk kejadian keganasan seksual dan berasaskan gender.
Suruhanjaya itu juga melaporkan Israel menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan terhadap kanak-kanak.-Agensi



