Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu tindakan seorang bekas pengurus di Petronas membocorkan maklumat sulit syarikat minyak itu kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), boleh menjejaskan proses rundingan antara dua syarikat minyak terbabit.
Pengurus Besar Petronas, Syakirah Mustapa, 51, berkata sekiranya maklumat laporan berkaitan prestasi operasi dan kewangan Petronas dibocorkan kepada pesaing, mereka boleh mengetahui prestasi operasi dan kewangan semasa Upstream (Huluan) Petronas bagi suku pertama serta anggaran keseluruhan 2024.
“Maklumat tersebut termasuk kekuatan kewangan, prestasi operasi, jumlah dan masalah pengeluaran, isu kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, penemuan minyak dan gas, pelaburan projek serta isu penjualan syarikat seperti Sudan.
“Kebocoran maklumat ini boleh menjejaskan proses rundingan antara Petronas dan PETROS serta berpotensi menyebabkan rundingan yang tidak menguntungkan Petronas,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni atas pertuduhan cuba mendedahkan laporan berkenaan kepada PETROS.
Saksi pendakwaan kedua itu berkata sebagai individu yang dipertanggungjawab menjaga kerahsiaan dokumen syarikat, Mohd Khairul Akmal sememangnya telah mengkhianati amanah yang diberikan sekiranya terbukti membocorkan atau cuba membocorkan laporan tersebut kepada pihak ketiga.
“Tiada kebenaran pernah diberikan kepada beliau (Mohd Khairul Akmal) untuk menggunakan laporan tersebut bagi tujuan peribadi atau dikongsi dengan pihak ketiga.
“Pihak ketiga ialah Datuk Janin Girie yang merupakan bekas pekerja Petronas dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PETROS manakala Azha Jalil ialah Ketua Pegawai Kewangan PETROS. Saya tidak pasti sama ada Mohd Khairul Akmal mengenali kedua-dua individu tersebut,” kata Syakirah semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan.
Syakirah berkata peranan Mohd Khairul Akmal yang memegang jawatan Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas selama 22 bulan, adalah menguruskan penyediaan laporan prestasi kewangan bagi perniagaan huluan secara bulanan, suku tahunan dan tahunan.
Proses penyediaan laporan tersebut, katanya melibatkan dua kumpulan utama iaitu Business Performance Improvement (BPI) dan Business Planning and Performance Reporting (BPPR).
“Laporan tersebut dikawal dan dimulakan oleh BPI dan diberikan kepada BPPR untuk melengkapkan bahagian berkaitan. Kumpulan tersebut dianggotai oleh saya, Mohd Khairul Akmal dan tujuh individu lain,” katanya yang mengetuai BPPR.
Saksi itu berkata Mohd Khairul Akmal tidak dibenarkan berkongsi laporan tersebut dengan mana-mana pihak luar selain yang terlibat dalam penyediaan laporan tersebut, namun tertuduh disyaki telah membocorkan maklumat syarikat melalui e-mel Petronas.
Selain itu, Syakirah berkata beliau telah membuat perbandingan dan mengesahkan bahawa dokumen yang dihantar oleh Mohd Khairul Akmal kepada pihak ketiga melalui e-mel Mohd Khairul Akmal adalah sama dengan laporan asal “Q1 2024 Upstream Business Performance – Operational and Financial”.
“Dokumen itu dibentangkan oleh saya dan Jasmin Nisha kepada Upstream Leadership Team pada 10 Mei 2024 tanpa sebarang perubahan terhadap kandungan asalnya,” jelas saksi itu.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Louis Liaw Vern Xien mewakili Mohd Khairul Akmal, saksi itu berkata beliau terkejut dengan tindakan Mohd Khairul Akmal kerana beliau menjalankan tugas dengan baik sepanjang memegang jawatan itu.
Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat, iaitu satu dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, yang dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai setahun, manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung 7 Julai ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




