am@hmetro.com.my
Sandakan: Beruang madu tertua di Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di sini, Amaco yang berusia 33 tahun ditemukan mati pada Rabu lalu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Dr Wong Siew Te, berkata haiwan itu ditemui oleh penjaga di pusat itu ketika melakukan pemeriksaan rutin dan keputusan ujian darah menunjukkan fungsi buah pinggang yang semakin merosot, selain mengalami anemia.
Katanya, kesihatan Amaco merosot sejak beberapa minggu lalu dan hilang selera makan, selain lemah dan mengalami kesukaran untuk berdiri.
“Hasil bedah siasat terhadap beruang madu itu mendapati berlaku kesesakan yang ketara pada paru-paru dan hati Amaco, menandakan sistem peredaran darahnya terjejas.
“Keadaan itu selaras dengan kemerosotan fungsi organ akibat faktor usia serta penyakit jantung kronik,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Wong berkata, Amaco sebelum ini diselamatkan dari sebuah ladang selepas dikurung selama 18 tahun dalam sangkar kecil.
Menurutnya, keadaan itu meninggalkan kesan mendalam terhadap Amaco apabila dilihat lebih gemar berada berhampiran dengan sangkar di BSBCC biarpun diberi akses kepada kawasan hutan semula jadi di pusat pemuliharaan berkenaan.
Sebagai beruang madu tertua di pusat itu, katanya, Amaco dikenali dengan sifatnya yang lembut, berdikari dan mempunyai personaliti tersendiri.
“Pada usia 33 tahun, Amaco hidup lebih jauh melebihi jangka hayat purata beruang madu yang tinggal dalam habitat liar.
“Sepanjang berada di BSBCC, ia menjadi antara penghuni yang paling disayangi oleh kakitangan, sukarelawan serta pengunjung,” katanya.
Wong turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang menyertai program pengambilan haiwan angkat dilaksanakan BSBCC dan menyifatkan sumbangan itu membolehkan Amaco menikmati penjagaan dan keselesaan sepanjang berada di fasiliti itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




