Perincikan 226 kesalahan supaya rakyat jelas

Perincikan 226 kesalahan supaya rakyat jelas

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa statistik tindakan tatatertib terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperincikan mengikut kategori kesalahan supaya ia lebih telus dan tidak disalah tafsir.

Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata pendedahan bahawa sebanyak 226 tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai SPRM sejak 2021 menunjukkan komitmen kerajaan dan SPRM mengambil tindakan terhadap pegawai yang melanggar peraturan.

Bagaimanapun, katanya, angka semata-mata tidak memberi gambaran sebenar mengenai tahap integriti sesebuah organisasi.

“Masyarakat berhak mengetahui berapa banyak kes membabitkan rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan, kebocoran maklumat, pemerasan atau penyelewengan dan berapa kes membabitkan isu disiplin pentadbiran seperti ponteng kerja, lewat hadir, ingkar arahan atau pelanggaran etika perkhidmatan.

“Pengelasan ini penting bagi mengelakkan salah tafsir bahawa semua kes tatatertib berkaitan rasuah,” katanya dalam kenyataan, tadi.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman mendedahkan sebanyak 226 kes tindakan tatatertib diambil terhadap SPRM dalam tempoh empat tahun bermula 2021, berbanding tiga lagi badan penguatkuasaan utama negara.

Statistik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan kes membabitkan SPRM pada 2021 adalah sebanyak 40, diikuti 68 kes (2022), 51 kes (2023) dan 67 kes (sehingga September 2024).

Mengulas lanjut, Jais berkata semua agensi penguatkuasa juga dicadangkan untuk mengambil langkah sama dengan menerbitkan statistik tatatertib mengikut format yang seragam.

Dalam pada itu, MCW turut mengesyorkan penerbitan Laporan Integriti Tahunan Agensi Penguat Kuasa yang mengandungi jumlah aduan, jenis kesalahan, keputusan siasatan, bentuk hukuman, tempoh penyelesaian kes serta tindakan pembetulan yang diambil.

Menurutnya, langkah itu akan membolehkan analisis yang lebih objektif, penambahbaikan dasar secara berasaskan bukti selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguat kuasa.

“Perjuangan membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada SPRM semata-mata. Integriti hendaklah menjadi budaya yang dikongsi oleh seluruh ekosistem penguatkuasaan negara melalui ketelusan, akauntabiliti dan penambahbaikan berterusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top