mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tengok video itu dan bersyukur ada juga penggiat seni kita yang pergi menziarah kubur Allahyarham Nadia Kesuma,” kata pelakon yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah.
Anne berkata, Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah ada memberitahunya dia akan menziarahi kubur arwah di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah sekiranya berpeluang ke Makkah.
“Bila dia bagi video, saya terkejut, sedih juga kan. Alhamdulillah… ada juga orang sampai. Maksudnya ada juga persatuan yang pergi. Sebab apa-apa pun kita memang bagi tahu Seniman.
“Cuma satu persoalan yang masih bermain di fikiran, sampai hari ini kita masih tak ada lagi jawapan mengenai punca kematiannya. Yang kita difahamkan, dia kena serangan jantung.
“Tak kisahlah serangan jantung pun, tapi sekarang ini sebagai kakak dan kawan, saya nak tahu masa dia meninggal itu siapa yang bawa dia pergi hospital?” katanya ditemui pada majlis Viewing Party tayangan drama Luka Di Hujung Setia bersama peminat, di sini, kelmarin.
Anne membintangi drama yang disiarkan menerusi slot Akasia TV3 yang turut dibintangi oleh Datuk Adi Putra, Zara Zya dan Irfan Zaini.
Menurutnya, dia hanya mahu kepastian terhadap beberapa perkara antaranya siapa yang membawa Nadia ke hospital tanpa memaklumkan kepada petugas kaunter polis di lapangan terbang terbabit.
“Itu yang menjadi tanda tanya sampai hari ini. Sebab lepas tiga hari baru kita jumpa dia. Itu pun selepas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan campur tangan.
“Pagi dia umum, petangnya dapat tahu di mana keberadaan Nadia. Seperkara lagi, suami Allahyarham Nadia, Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah pun kecewa juga.
“Dia dan Sarah (anak arwah Nadia) pergi sana, pergi airport minta nak tengok CCTV pun tak dapat, tak bagi, tak dibenarkan sedangkan mereka hanya nak tahu perkara sebenar,” katanya.
Katanya, pihaknya ada hak untuk bertanya kerana selepas tiga hari Nadia dilaporkan hilang, dia dijumpai pada hari keempat dan disahkan sudah meninggal dunia.
Terdahulu pada 15 Januari lalu, Anne mendapati Nadia Kesuma gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Nadia menaiki penerbangan pada malam sebelumnya menerusi sebuah agensi pelancongan bagi pakej umrah Jeddah-London.
© New Straits Times Press (M) Bhd




