IPOH – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang memperkukuh strategi dengan memberi tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi seperti China, Indonesia, Jepun dan India.
Timbalan Menterinya, Chiew Choon Man berkata, strategi yang digerakkan melalui Tourism Malaysia itu turut menyasarkan pasaran jarak jauh termasuk Rusia, Jerman dan Australia.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kepelbagaian pasaran serta meningkatkan daya tahan industri pelancongan negara.
“Kementerian juga akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri bagi menangani cabaran operasi dan tekanan kos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Festival Budaya Malaysia (FBM) @ Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.

Persembahan memukau dipentaskan sempena majlis perasmian FBM @ Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh pada Sabtu.
Festival anjuran MOTAC yang berlangsung dari 25 hingga 28 Jun itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Choon Man berkata, momentum sektor pelancongan negara kini berada pada landasan positif apabila merekodkan 42.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada tahun 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, sehingga Mei tahun ini, negara menerima 17.5 juta pelawat, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Prestasi semasa ini membuktikan kita berada di landasan kukuh untuk mengekalkan momentum positif sepanjang tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen membanggakan telah ditunjukkan Kerajaan Perak dalam menterjemah dan menjajarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).
Ujarnya, melalui penerapan tema ‘Seni, Budaya dan Warisan’ dalam acuan Sejahtera Sosial, kedua-dua agenda besar ini terbukti berpasak pada visi yang sama, berteraskan gagasan Malaysia MADANI.
“Sinergi utuh seumpama ini memastikan kebudayaan kita tidak lagi terperangkap sebagai khazanah masa lalu, sebaliknya bangkit sebagai pemacu ekonomi dinamik yang mampu mengangkat martabat jati diri rakyat Perak di persada dunia,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, Festival Budaya Malaysia berlangsung pada waktu yang tepat ketika negara sedang menggerakkan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, dengan lebih 100 aktiviti disusun, ia bukan sahaja memberi hiburan kepada masyarakat, tetapi turut menghidupkan ekonomi bandar melalui pasaran produk usahawan dan karya tempatan.
“Inilah contoh bagaimana budaya mampu menjadi pemangkin pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Untuk rekod, pada tahun 2025, Perak merekodkan lebih 10.4 juta pelancong domestik bermalam dan lebih 23.6 juta pelawat domestik secara keseluruhan.



