Siti Saleha, Joshua Fitton kekal tradisi kenduri kampung

Siti Saleha, Joshua Fitton kekal tradisi kenduri kampung

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon popular, Siti Saleha meluahkan rasa syukur kerana majlis aqiqah dan cukur jambul anaknya, Indra Mateen Fitton (Indra) berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 300 ahli keluarga dan rakan di Kampung Bukit Kechil, Paya Dalam, Melaka, Sabtu lalu.

Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 35, berkata, meskipun berdarah campuran, dia dan suaminya, Joshua Fitton tetap memilih untuk mengadakan majlis mengikut adat dan tradisi Melayu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis cukur jambul yang dirancang untuk anak lelaki kami, Indra berjalan lancar seperti direncanakan.

“Terima kasih kepada ahli keluarga terdekat kedua belah pihak dan kawan rapat yang hadir sekali gus menjadikan majlis menjadi lebih istimewa,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya pujian netizen membabitkan majlis aqiqah yang berlangsung mengikut adat dan tradisi pula, kata Saleha, suaminya, Joshua yang mahu mengadakan majlis sedemikian.

“Suami saya yang mahu mengekalkan adat dan tradisi kerana dia berasa bertanggung-jawab untuk meneruskan tradisi keluarganya.

“Maklumlah, suami saya membesar dengan ahli keluarganya yang sering mengadakan pelbagai majlis kenduri di kampung.

“Saya pula risau jika ia membazir jika makanan tidak habis tapi mengikut adat Jawa, kalau tak habis, makanan itu akan dibungkus untuk tetamu bawa balik sebab itu tradisi mereka,” kata pelakon berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.

Ditanya mengenai anaknya Indra pula, kata Saleha, Indra akan mencecah usia enam bulan pada minggu depan.

“Indra juga membesar dengan baik dan kini sudah mula makan makanan pejal. Dia suka makan avokado, lobak merah dan kentang.

“Saya juga masih menyusukan Indra sepenuhnya kerana dia masih kecil,” katanya.

Acara majlis aqiqah dan cukur jambul itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri.

Terdahulu, pelakon Siti Saleha memuat naik foto di Instagram (IG) memaparkan sekitar majlis aqiqah dan cukur jambul anak lelakinya, Indra yang masih mengekalkan adat dan tradisi sekali gus mendapat perhatian dan pujian dari netizen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top