mahaizura@mediaprima.com.my
LEBIH 15 tahun mendampingi masyarakat babitkan pelbagai latar belakang mengajar Muhammad Khidir Jamil bahawa bantuan paling bermakna bukan sekadar memenuhi keperluan hari ini, namun membuka peluang untuk mengubah kehidupan.
Berpegang kepada prinsip itu, Muhammad Khidir, 40, memilih memperjuangkan pembangunan ekonomi komuniti dengan memberi tumpuan kepada program latihan kemahiran, keusahawanan dan menjana pendapatan bagi membantu golongan memerlukan keluar daripada kemiskinan.
Anak kelahiran Kampung Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor itu berkata, dia dibesarkan dalam keluarga sederhana yang sentiasa menekankan nilai kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian diri, tetapi sejauh mana seseorang mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Nilai itu menjadi pegangan hidupnya sehingga mendorongnya aktif dalam kerja kemasyarakatan sejak awal kerjaya.
Dia juga terbabit dalam pembangunan belia, pengurusan program komuniti serta bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat.
Pengalaman lebih 15 tahun mendampingi masyarakat daripada pelbagai latar belakang membuka mata Muhammad Khidir terhadap cabaran sebenar yang dihadapi terutama golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, ramai sebenarnya mempunyai kebolehan dan semangat untuk berjaya, namun tidak mempunyai peluang atau sokongan yang mencukupi untuk mengubah kehidupan mereka.
Keadaan itu menjadi pencetus untuk Muhammad Khidir memperjuangkan program yang bukan sekadar memberi bantuan sekali beri, namun mampu membina kehidupan lebih baik dalam jangka panjang.
“Saya percaya bantuan terbaik ialah membantu, seterusnya mengubah kehidupan seseorang untuk tempoh panjang.
“Sebab itu kami memberi tumpuan kepada program yang meningkatkan kemahiran dan membantu peserta menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Ahli perniagaan itu memimpin Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Komuniti Bandar (Community Urban Care) yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi komuniti dan pemerkasaan masyarakat.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program ‘Mobile Salon’ untuk wanita B40, ‘Buy & Give People’ bagi membantu peniaga kecil selain program latihan kemahiran, pembangunan belia serta pelbagai aktiviti kebajikan dan kesihatan komuniti.
Ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan beberapa negeri dilanda banjir besar, Muhammad Khidir bersama sukarelawan menyelaras bantuan makanan, keperluan asas serta sokongan kepada keluarga terjejas.
Katanya, golongan sasaran utama Community Urban Care ialah wanita B40, ibu tunggal, belia, asnaf, peniaga kecil dan keluarga yang memerlukan sokongan untuk meningkatkan taraf hidup.
Mengulas cabaran, Muhammad Khidir berkata, usaha membantu masyarakat secara konsisten memerlukan komitmen tinggi kerana tidak semua program mempunyai sumber kewangan mencukupi selain masih ada yang melihat bantuan sekadar pemberian, bukannya peluang membina masa depan.
“Setiap cabaran adalah proses pembelajaran. Saya percaya perubahan besar sentiasa bermula dengan tindakan kecil seperti membantu seorang ibu menjana pendapatan, belia memperoleh kemahiran atau keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.
Menurut Muhammad Khidir, pencapaian paling membanggakan bukanlah jawatan atau anugerah yang pernah diterima, sebaliknya melihat perubahan kehidupan individu yang pernah dibantu sehingga berjaya memulakan perniagaan sendiri, meningkatkan pendapatan keluarga dan kembali yakin meneruskan kehidupan.
“Paling menggembirakan ialah apabila melihat peserta yang suatu ketika dahulu bergantung kepada bantuan kini sudah mampu berdikari, malah membantu insan lain pula,” katanya.
Walaupun pernah menerima pengiktirafan sebagai wira pandemik atas usaha membantu masyarakat ketika pandemik dan bencana, Muhammad Khidir menganggap penghargaan terbesar tetap datang daripada kejayaan individu yang pernah dibantu.
“Harapan saya supaya lebih ramai individu, syarikat dan organisasi tampil berganding bahu membangunkan komuniti.
“Saya tidak pernah melihat kerja kemasyarakatan sebagai satu tugas, tetapi satu tanggungjawab. Jika kita mampu mengubah kehidupan walaupun seorang insan menjadi lebih baik, itu sudah cukup memberi makna kepada kehidupan kita sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




