Calon PRN wanita ada aura tersendiri

Calon PRN wanita ada aura tersendiri

mahaizura@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Berdepan pencabar lelaki dalam saingan pelbagai penjuru bukan lagi dilihat sebagai cabaran besar dan halangan kepada calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya mereka melihatnya sebagai peluang membuktikan kemampuan serta menawarkan pendekatan berbeza kepada pengundi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Lee Wern Yiing, 30, berkata, beliau tidak menganggap persaingan dengan calon lelaki sebagai satu cabaran kerana wanita mempunyai kelebihan tersendiri terutama dalam memahami sesuatu isu secara lebih terperinci.

Menurutnya, wanita lebih peka terhadap dasar serta polisi yang membabitkan kepentingan wanita, kanak-kanak dan institusi keluarga.

“Saya ada kelebihan sebagai wanita yang juga mewakili golongan muda untuk memudahkan saya lebih memahami aspirasi pengundi muda dan apa yang wanita mahukan.

“Justeru, saya mengambil pendekatan mendekati seramai mungkin golongan itu sepanjang tempoh berkempen ini,” katanya.

Wern Yiing berkata, walaupun pertama kali bertanding, beliau tetap yakin mampu memberi saingan kepada pencabarnya berbekalkan kekuatan pasukan, pemahaman terhadap isu tempatan serta hubungan yang dibina bersama penduduk sejak menetap di Johor Jaya pada 2018.

Turut senada, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Bukit Permai, M Lina Manoh, 36, yang mengakui tidak berdepan kesukaran walaupun menjadi satu-satunya calon wanita di kerusi itu.

Katanya, penerimaan pengundi terhadap calon wanita kini semakin baik dan masyarakat lebih terbuka untuk menilai kemampuan seseorang tanpa mengira jantina.

“Tetapi, sudah pasti saya perlu bekerja dua kali ganda berbanding tiga lagi pencabar untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.

“Saya memilih pendekatan turun padang mendengar sendiri keluhan rakyat sebelum menawarkan penyelesaian selain memanfaatkan media sosial untuk mendekati pengundi muda,” katanya.

Sebagai ibu kepada dua anak, beliau turut berkorban berjauhan dengan keluarga apabila menetap di sebuah inap desa sepanjang tempoh kempen bagi memberi tumpuan sepenuhnya untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

Sementara itu, calon MUDA DUN Simpang Jeram, Ainie Hazikah Shafii, 36, mengakui masih ada pihak yang memandang rendah kemampuan calon wanita, terutama apabila bertanding pada usia muda.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Parti MUDA itu menyifatkan, persepsi itu bukan sesuatu yang mematahkan semangatnya, sebaliknya memilih untuk membuktikan kemampuan melalui kerja di lapangan.

“Bagi saya, perkara paling penting ialah meyakinkan pengundi, saya mempunyai kebolehan untuk membawa perubahan serta menjadi wakil rakyat yang mampu menggalas amanah dengan baik,” katanya.

Ainie yang juga peguam serta ibu kepada tiga anak berkata, sokongan suami dan keluarga membolehkannya mengimbangi kerjaya, urusan rumah tangga serta tanggungjawab sebagai calon sepanjang tempoh berkempen.

“Sebenarnya, ini bukan perkara baharu buat saya kerana bertemu masyarakat ini sudah menjadi rutin sejak lebih 15 tahun saya terbabit dalam politik,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Wern Yiing bertanding di DUN Johor Jaya menentang calon BN, Teow Chia Ling; calon PN, Lim Chin Eng serta calon Bebas, HP Lim.

Lina pula berdepan calon BN, Datuk Jafni Md Shukor, Mohamad Shafwan Ani daripada PH serta Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof mewakili Parti Bersama Malaysia.

Selain itu, Ainie pula bertanding di DUN Simpang Jeram berdepan penyandang daripada PH, Nazri Abdul Rahman; calon BN Lokman Md Don serta calon PN Mohd Mazri Yahya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top