DBKL kompaun JMB Flat Hicks

DBKL kompaun JMB Flat Hicks

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis dan mengenakan dua kompaun terhadap Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat Hicks Bukit Bintang, di sini, hari ini, selepas didapati masih gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil susulan lawatan pemeriksaan yang dibuat hari ini selepas lawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke lokasi berkenaan kelmarin.

“Pemeriksaan mendapati bahawa JMB Flat Hicks masih gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh DBKL.

“Sehubungan itu, satu Notis Kacau Ganggu telah dikeluarkan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mengarahkan tindakan pembetulan dilaksanakan dengan segera.

“Selain itu, satu kompaun telah dikenakan di bawah Seksyen 47(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta satu kompaun di bawah Seksyen 82(5), Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kegagalan mematuhi arahan pembersihan yang telah dikeluarkan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam kenyataan sama, DBKL berkata, pihaknya turut menjalankan kerja pembersihan di lokasi itu bagi memastikan kebersihan kawasan terjaga dan melindungi kesihatan awam.

“DBKL akan terus memantau tahap pematuhan pihak yang bertanggungjawab dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya arahan yang dikeluarkan terus gagal dipatuhi,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, DBKL melakukan kerja pembersihan di Flat Hicks atau lebih dikenali Bund Shanghai di Bukit Bintang di sini, kelmarin, selepas keadaan premis kotor dan berbau busuk itu ditularkan seorang pelancong asing.

DBKL dalam kenyataan di Facebook berkata, beberapa tindakan termasuk operasi penguatkuasaan sudah dilaksanakan di premis itu sebelum ini.

Terdahulu premis usang itu sekali lagi tular selepas klip video di muat naik seorang pencipta kandungan YouTube dari Australia yang memaparkan keadaan di kediaman itu yang kotor dan usang sehingga menjadi perbualan ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top