Kecemasan melibatkan haiwan peliharaan sering berlaku tanpa dijangka, sama ada di rumah mahupun di luar persekitaran.
Situasi ini boleh menjadi kritikal apabila berlaku kecederaan serius yang mengancam nyawa haiwan sekiranya rawatan tidak diberikan dengan segera.
Pegawai veterinar dari Hospital Veterinar Universiti (UVH), Dr. Nor-Alimah Rahman berkata, kecemasan veterinar merujuk kepada keadaan di luar jangkaan yang memerlukan intervensi atau rawatan segera, kerana jika dibiarkan boleh mengancam nyawa atau fungsi normal badan haiwan.
“Antara kemalangan yang paling kerap berlaku di Malaysia termasuk kemalangan jalan raya, kemalangan di rumah seperti tersepit pintu atau terkena air panas, jatuh dari tempat tinggi seperti balkoni atau tangga, serta pergaduhan sesama haiwan.
“Haiwan juga berisiko terdedah kepada bahan toksik seperti racun tikus dan baja yang boleh menyebabkan keracunan serius, katanya kepada Seri.
Selain itu, kes sengatan atau gigitan haiwan berbisa seperti ular dan lebah, serta kejadian tercekik makanan atau objek seperti tulang, biji buah, jarum, benang dan mata kail turut sering dilaporkan dan boleh mengancam nyawa haiwan.
Tanda-tanda haiwan kritikal
Haiwan yang berada dalam keadaan kritikal biasanya menunjukkan tanda seperti tidak sedar, pendarahan, organ terkeluar dari lokasi asal, kesukaran bernafas, tidak dapat bergerak, serta bengkak atau kembung pada abdomen.
Selain itu, tanda lain yang perlu diberi perhatian termasuk kesakitan apabila disentuh, murung, mengasingkan diri, hilang selera makan dan minum, tiada pembuangan kencing atau najis secara normal, serta kehilangan fungsi atau deria pada anggota badan yang tercedera.
Menurutnya, jika haiwan dilanggar kenderaan, pemilik perlu bertenang dan menilai keadaan sekitar terlebih dahulu sebelum bertindak.
Dalam situasi itu, bantuan orang lain perlu diminta untuk menghubungi klinik veterinar terdekat sementara bantuan awal diberikan di lokasi kejadian.
Haiwan yang berada di kawasan berbahaya juga perlu segera dialihkan ke tempat yang lebih selamat.
Selepas itu, pemilik perlu memeriksa tahap kecederaan, respons haiwan serta pernafasan dengan memastikan saluran pernafasan tidak terhalang.
Jika berlaku pendarahan, luka perlu ditekan menggunakan kain bersih sehingga darah berhenti sebelum dibalut dan haiwan segera dibawa ke klinik veterinar.
“Jika organ terkeluar, ia tidak boleh dimasukkan semula, sebaliknya hanya perlu ditutup menggunakan kain bersih yang lembap.
“Penggunaan e-collar atau muzzle disarankan jika haiwan cuba menggigit atau menjilat kawasan cedera,” jelasnya.
Haiwan juga perlu diletakkan dalam carrier atau pengusung bagi mengurangkan pergerakan semasa perjalanan ke klinik.
Dalam masa yang sama, klinik veterinar perlu dihubungi terlebih dahulu untuk memaklumkan keadaan kecemasan.
Kesilapan yang sering dilakukan pemilik
Menurut Dr. Nor-Alimah, antara kesilapan utama pemilik haiwan ialah lewat membawa haiwan ke klinik veterinar, walaupun keadaan sudah menunjukkan tanda kecemasan.
Selain itu, pemilik juga sering mengendalikan haiwan tanpa pelindung seperti e-collar atau muzzle, yang boleh menyebabkan kecederaan kepada pemilik akibat gigitan atau cakaran ketika haiwan sedang sakit atau panik.
“Pemilik juga sering melakukan kesilapan dengan memberi makan atau minum selepas kemalangan, yang boleh meningkatkan risiko muntah atau aspirasi ketika rawatan,” katanya.
Selain itu, terdapat tindakan berbahaya seperti menarik objek seperti benang yang terkeluar dari badan haiwan, yang boleh menyebabkan kecederaan menjadi lebih parah.
Penggunaan ubat manusia seperti panadol tanpa nasihat doktor veterinar juga boleh memberi kesan kepada haiwan.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan rawatan tradisional atau ubat yang dibeli secara atas talian tanpa pengesahan veterinar boleh membahayakan haiwan.
Dalam masa yang sama, setiap pemilik digalakkan menyediakan kit pertolongan cemas haiwan di rumah sebagai persediaan awal menghadapi kecemasan.
Antara keperluan penting termasuk e-collar, muzzle, tuala, selimut tebal, pembalut elastik dan kasa, gunting, pita pelekat, iodin, air bersih, tablet charcoal, sangkar haiwan, pengusung serta kertas tisu.
Kepentingan “golden hour”
Beliau berkata, tempoh 60 minit pertama selepas kemalangan (golden hour) memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan peluang hidup haiwan yang tercedera.
Dalam tempoh ini, tindakan segera diperlukan untuk mencegah renjatan, menghentikan pendarahan, serta memulihkan aliran oksigen dan cecair badan bagi mengelakkan kerosakan yang kekal.
Bagi haiwan yang mempunyai masalah pernafasan atau sawan, masa yang diperlukan untuk bertindak boleh menjadi lebih singkat, iaitu dalam tempoh platinum 10 minit.
“Haiwan yang menunjukkan tanda tidak sedar, sawan atau hilang fungsi saraf selepas kemalangan perlu dibawa segera ke fasiliti veterinar tanpa berlengah.
“Keadaan ini memerlukan penilaian lanjut menggunakan prosedur diagnostik tertentu seperti CT scan dan MRI bagi mengenal pasti kemungkinan pendarahan atau kecederaan pada otak serta sistem saraf,” jelasnya.




