Sepanyol intai balas dendam, Portugal tekad ulangi kejayaan

Sepanyol intai balas dendam, Portugal tekad ulangi kejayaan

Houston: Pertembungan antara Sepanyol dan Portugal pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, Selasa ini, dijangka menjadi antara aksi paling dinanti apabila menemukan dua musuh tradisi Semenanjung Iberia serta mempertemukan dua generasi berbeza, Cristiano Ronaldo dan Lamine Yamal.

Perlawanan itu turut menghidangkan ulangan final Liga Negara-Negara tahun lalu yang menyaksikan Portugal muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 2-2, sekali gus menggagalkan hasrat Sepanyol mempertahankan gelaran.

Kekalahan itu kekal menjadi satu-satunya ‘noda’ dalam prestasi cemerlang skuad kendalian Luis de la Fuente yang kini mengharungi 34 perlawanan tanpa kalah sejak menjulang trofi Liga Negara-Negara UEFA pada 2023.

Sepanyol tampil sebagai antara pasukan paling meyakinkan di kejohanan dengan corak permainan pantas, penguasaan bola yang kemas serta benteng pertahanan ampuh.

Malah, mereka belum melepaskan sebarang gol di Piala Dunia sejak aksi peringkat kumpulan menentang Jepun pada edisi Qatar 2022.

Namun, Portugal dijangka memberi tentangan sengit menerusi gandingan pemain tengah Vitinha, Joao Neves dan Bruno Fernandes yang mampu menandingi kreativiti jentera tengah Sepanyol.

Pertahanan kiri, Nuno Mendes, sekali lagi dijangka memikul tugas penting menyekat ancaman Lamine Yamal sambil membantu serangan apabila Portugal melakukan serangan balas.

Bintang muda berusia 18 tahun, Yamal terus menjadi sandaran utama Sepanyol selepas mempamerkan aksi matang sepanjang kejohanan.

“Kami perlu terus meningkat, tetapi kami tidak takut kepada sesiapa,” kata Yamal selepas kemenangan 3-0 ke atas Austria.

Portugal pula mara ke pusingan kalah mati dengan prestasi kurang meyakinkan apabila sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua di belakang Colombia selepas mencatat dua keputusan seri, sebelum menewaskan Croatia untuk mengesahkan kemaraan.

Di sebalik tumpuan terhadap Yamal, perhatian turut terarah kepada Ronaldo yang dijangka mengharungi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

Walaupun tidak lagi berada di kemuncak prestasi, penyerang berusia 41 tahun itu masih berbisa di depan gawang, dibuktikan apabila menjaringkan gol penyamaan ketika final Liga Negara-Negara tahun lalu.

Menurut kakaknya, Ronaldo dijangka mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan selepas tamat kempen Piala Dunia, sekali gus menjadikan setiap perlawanan Portugal berpotensi menjadi penampilan terakhir legenda itu.

Bagi dua pasukan yang hadir sebagai antara calon pilihan menjulang trofi, kegagalan melepasi pusingan 16 terbaik pastinya dianggap satu kekecewaan besar.

Sepanyol memburu misi membalas dendam, manakala Portugal bertekad mengulangi kejayaan ke atas seteru tradisi mereka itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top