Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan penumpuan angin baratan kencang yang berpotensi membawa cuaca buruk di beberapa kawasan bermula Rabu ini.
MetMalaysia menerusi hantaran Facebook memaklumkan, analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan penumpuan fenomena itu dijangka berlaku di utara Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 hingga 10 Julai ini.
Cuaca buruk itu turut dijangka melanda kawasan utara dan timur Semenanjung Malaysia pada 10 hingga 12 Julai ini.
Menurut MetMalaysia, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan, Perairan Phuket serta Selat Melaka Utara.
“Keadaan ini juga berpotensi membentuk garis badai yang membawa cuaca ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang untuk tempoh yang lebih panjang di kawasan terbabit,” menurut hantaran itu.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta aplikasi myCuaca.
© New Straits Times Press (M) Bhd




