Mbappe berang dihina berbaur perkauman

Mbappe berang dihina berbaur perkauman

Miami: Penyerang, Kylian Mbappe menyelar seorang senator Paraguay sebagai ‘wanita keji’ selepas beliau melancarkan serangan berbaur perkauman susulan penyingkiran Paraguay daripada Piala Dunia.

Mbappe menjadi penentu kemenangan apabila sepakan penaltinya memastikan Perancis menang 1-0 ke atas Paraguay dalam perlawanan penuh fizikal di Philadelphia pada Sabtu, sekali gus melangkah ke suku akhir.

Senator Celeste Amarilla kemudian menulis satu kenyataan panjang yang disifatkan berbaur perkauman di platform X termasuk merujuk Mbappe sebagai ‘warganegara Cameroon yang dijajah yang cuba berpura-pura menjadi orang Perancis’ serta menghina pemain itu sebagai ‘kasar’ dan mendakwa pemain Paraguay sepatutnya menamparnya selepas perlawanan.

Mbappe kemudian membalas dengan kenyataan tegas mempertahankan dirinya dan juga pemain Paraguay.

“Puan Celeste Amarilla, anda seorang wanita yang keji dan tidak layak memegang jawatan anda. Anda tidak mewakili Paraguay,” kata Mbappe.

Dia turut menegaskan bahawa tindakan dan kenyataan berbaur kebencian itu sudah menjejaskan imej negara berkenaan di pentas dunia, mengalihkan perhatian daripada pencapaian pasukan Paraguay.

“Dengan kecuaian anda dan sikap perkauman secara terang-terangan, dunia sudah melupakan perjalanan dan usaha bersejarah pasukan anda.

“Pasukan Perancis akan sentiasa mewakili Perancis dan kami tidak akan membenarkan kebencian serta perkauman disebarkan,” katanya.

Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) turut mengambil tindakan lanjut dengan menyatakan hasrat untuk memfailkan tindakan undang-undang, menyifatkan kenyataan terbabit sebagai ‘amat keji dan tidak boleh diterima.’

“Kenyaataan ini bersifat jenayah dan perlu dibawa ke muka pengadilan. FFF akan merujuk perkara ini kepada pejabat pendakwa raya.

“Perkara ini memalukan pihak yang melakukannya dan menyebarkannya. Pemain pasukan kebangsaan Perancis mewakili negara kami dan penghinaan ini turut ditujukan kepada Perancis,” kata badan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top