Gol Merino hancurkan Portugal, Ronaldo tamatkan karier Piala Dunia dengan kecewa

Gol Merino hancurkan Portugal, Ronaldo tamatkan karier Piala Dunia dengan kecewa

Arlington: Jaringan lewat pemain gantian, Mikel Merino membawa Sepanyol ke suku akhir Piala Dunia selepas menewaskan Portugal 1-0, sekali gus menamatkan karier Piala Dunia Cristiano Ronaldo.

Juara Eropah itu akan bertemu sama ada Amerika Syarikat (AS) atau Belgium di Los Angeles, awal pagi Sabtu ini.

Di hadapan 70,649 penonton di stadium milik pasukan NFL, Dallas Cowboys, perlawanan yang dijangka berlangsung sengit gagal memenuhi jangkaan apabila kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang berkualiti.

Ketika aksi seakan-akan menuju masa tambahan, seorang lagi pemain gantian, Ferran Torres melorongkan bola kepada Merino yang tenang menyudahkannya pada minit pertama masa kecederaan.

Gol itu memastikan penampilan terakhir Ronaldo di pentas Piala Dunia berakhir dengan kekecewaan.

Penyerang berusia 41 tahun yang kini beraksi di Arab Saudi itu sudah mengesahkan bahawa kejohanan kali ini adalah penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia, semalam.

Kedua-dua seteru Eropah itu turun tanpa sebarang kekalahan dalam kejohanan namun Portugal belum benar-benar meyakinkan manakala Sepanyol pula masih belum melepaskan sebarang gol.

Status itu kekal selepas kemenangan terbabit.

Walaupun memiliki sejarah dan reputasi besar, Sepanyol hanya pernah menjulang Piala Dunia 2010 manakala pencapaian terbaik Portugal adalah tempat ketiga pada 1966.

Pertembungan pusingan 16 terbaik itu turut menjadi tumpuan kerana menemukan Ronaldo dengan sensasi berusia 18 tahun Lamine Yamal, dua bintang yang berada di penghujung dan permulaan karier masing-masing.

Sebelum sepak mula, suasana hening menyelubungi stadium apabila imej mendiang Diogo Jota dipaparkan pada skrin gergasi sebagai penghormatan kepada bekas penyerang Portugal itu.

Sepanyol sepatutnya mendahului seawal minit ke-10 apabila Dani Olmo melorongkan bola kepada Mikel Oyarzabal namun percubaannya tersasar walaupun hanya berdepan penjaga gol, Diogo Costa.

Ronaldo kemudian hampir membuka jaringan apabila rembatan dari sudut sempit memaksa penjaga gol, Unai Simon melakukan penyelamatan.

Pasukan bimbingan Luis de la Fuente meningkatkan tekanan dengan Yamal dan Alex Baena menguji Costa termasuk satu aksi menyelamat cemerlang hujung jari oleh penjaga gol Portugal itu.

Ronaldo yang menerima sorakan dan cemuhan daripada penyokong dilihat kurang menyerlah di posisi penyerang tengah pada aksi terbabit.

Portugal menamatkan babak pertama dengan lebih baik dan hampir mendahului apabila percubaan Nuno Mendes terkena kepala pertahanan Sepanyol, Pedro Porro sebelum mengenai palang gol sendiri.

Yamal pula berdepan kesukaran menembusi kawalan Mendes sebelum pertahanan kiri Paris Saint-Germain (PSG) itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-56.

Perlawanan yang hambar itu akhirnya diselamatkan Merino apabila pemain tengah Arsenal itu menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir untuk mengesahkan kemaraan Sepanyol ke suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top