Foxborough: Sepanyol akan berdepan Belgium pada aksi suku akhir Piala Dunia, pagi Sabtu ini, dalam pertembungan yang menemukan antara pasukan paling konsisten di kejohanan itu dengan skuad Belgium yang tampil bermotivasi tinggi selepas membelasah Amerika Syarikat (AS) 4-1.
Kemenangan Belgium itu hadir selepas tercetus kontroversi apabila penggantungan satu perlawanan penyerang AS, Folarin Balogun akibat kad merah digantung susulan campur tangan luar biasa Presiden AS, Donald Trump yang menggesa Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menilai semula kes berkenaan.
Skuad kendalian Rudi Garcia bagaimanapun tidak mensia-siakan peluang apabila membelasah AS untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
Kini, Belgium berdepan ujian lebih sukar menentang Sepanyol.
Sepanyol belum tewas dalam 35 perlawanan, rekod yang menyaksikan skuad kendalian Luis de la Fuente berubah daripada juara Eropah yang menjanjikan kepada pasukan yang menguasai setiap perlawanan dengan penuh keyakinan.
Sejak tersingkir menerusi penentuan penalti kepada Maghribi pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2022 di Qatar ketika dibimbing Luis Enrique, Sepanyol mengalami perubahan besar di bawah De la Fuente yang sebelum ini mengendalikan skuad remaja negara.
Hasilnya, Sepanyol kini bermain dengan persefahaman seperti sebuah kelab, berdisiplin, tersusun, seimbang dan sukar ditembusi.
Di bawah De la Fuente, Sepanyol menjulang Liga Negara-Negara pada 2023, muncul juara Eropah buat kali keempat pada 2024 dan mara ke final kejohanan sama setahun kemudian sebelum tewas menerusi penentuan penalti kepada Portugal selepas seri tanpa jaringan.
Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo juga menjadi mangsa terakhir Sepanyol di Piala Dunia kali ini apabila tewas 0-1 hasil jaringan lewat permainan Mikel Merino yang masuk sebagai pemain gantian, manakala Ferran Torres turut mencipta bantuan gol sejurus dimasukkan.
Kekuatan Sepanyol bukan bergantung kepada seorang bintang semata-mata, sebaliknya terletak pada kedalaman skuad mereka.
Pada Euro 2024, mereka menjaringkan 15 gol dengan 10 pemain berbeza mencatat nama sebagai penjaring, rekod kejohanan bagi jumlah penjaring terbanyak daripada satu pasukan dalam satu edisi.
Malah, sensasi remaja Lamine Yamal yang masih berusaha mendapatkan semula kecergasan terbaik selepas kecederaan hamstring pada April lalu turut membuktikan sentuhan kreatifnya walaupun dalam tempoh singkat sudah cukup untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dan membuka ruang kepada rakan sepasukan.
Belgium pula perlu mencari jalan mengekang Sepanyol tanpa pemain tengah utama, Amadou Onana yang mengalami kecederaan ligamen anterior lutut (ACL) ketika kemenangan ke atas AS.
Onana dikeluarkan pada minit ke-21 selepas mendarat dalam keadaan tidak sempurna, namun dia tetap menyertai sambutan kemenangan pasukan dengan menggunakan tongkat.
Ketiadaannya memberi tamparan besar kepada Garcia ketika berdepan Sepanyol yang jarang melepaskan peluang untuk menguasai permainan.
Bagaimanapun, Belgium sudah membuktikan mereka mampu bangkit apabila berdepan situasi sukar dan percaya mampu sekali lagi mencipta kejutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




