MICHAEL Oliver mungkin tidak berpeluang mengadili aksi final Piala Dunia 2026 sekiranya senario tertentu berlaku melibatkan England dan Argentina.
Oliver adalah antara 52 pengadil yang dipilih FIFA untuk kejohanan kali ini, bersama seorang lagi wakil England, Anthony Taylor.
Oliver kini dijadual mengadili aksi suku akhir antara Sepanyol dan Belgium, namun perlawanan itu berpotensi menjadi tugasan terakhirnya di Piala Dunia.
Selain tidak dibenarkan mengendalikan perlawanan membabitkan England (mengikut peraturan FIFA yang melarang pengadil mengadili pasukan dari negara sendiri), Oliver turut tidak layak mengendalikan aksi Argentina atas faktor geopolitik antara United Kingdom dan Argentina berkaitan isu Kepulauan Falkland.
Menurut laporan BBC Sport, pertikaian berpanjangan mengenai kedaulatan Kepulauan Falkland menjadi sebab pengadil England tidak akan dipertimbangkan untuk perlawanan membabitkan Argentina.
Konflik Falkland tercetus pada 1982 apabila tentera Argentina menyerang dan menduduki kepulauan berkenaan yang ditadbir United Kingdom.
Peperangan itu berlangsung selama 74 hari sebelum Argentina menyerah kalah pada 14 Jun 1982. Seramai 649 anggota tentera Argentina terbunuh dalam konflik itu, manakala 255 anggota tentera Britain turut terkorban.
Sehingga kini, Argentina masih mempertikaikan kedaulatan Kepulauan Falkland, walaupun penduduk pulau itu dalam referendum 2013 memilih untuk kekal sebagai wilayah luar Britain dengan sokongan 99.8 peratus.
Persaingan England-Argentina juga kekal panas dalam bola sepak, terutama selepas beberapa pemain Argentina didakwa menyanyikan lagu yang merujuk isu Falkland selepas kemenangan 3-2 ke atas Mesir pada pusingan 16 terbaik.
Siapa lagi berisiko terlepas final?
Jika England dan Argentina mara ke peringkat akhir kejohanan, kedua-dua pasukan akan bertemu pada separuh akhir berdasarkan laluan semasa.
Situasi itu secara automatik akan menyingkirkan Oliver dan Taylor daripada senarai calon pengadil final yang dijadualkan berlangsung di New Jersey.
Nasib sama turut menimpa pengadil Argentina iaitu Yael Falcon Perez, Dario Herrera dan Facundo Tello.
Taylor sebelum ini antara calon utama untuk mengadili final Piala Dunia 2022, namun peluangnya terhalang selepas Argentina mara ke perlawanan tersebut.
Pada edisi kali ini, Taylor sudah mengendalikan tiga perlawanan termasuk kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Portugal pada pusingan 16 terbaik.
Laporan The Times pada 2022 menyebut FIFA bimbang Argentina mungkin mempersoalkan sikap berkecuali Taylor selepas muncul isu nyanyian berunsur anti-Falkland dalam kem Argentina menjelang final ketika itu.
Sementara itu, Tello akan menjadi pengadil utama aksi suku akhir antara Perancis dan Maghribi, yang mencipta sejarah sebagai perlawanan pertama Piala Dunia dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pegawai dari negara sama.
Beliau akan dibantu Juan Pablo Belatti dan Gabriel Chade, dengan Herrera bertindak sebagai pegawai keempat.
Perez pula sudah mengendalikan dua aksi peringkat kumpulan serta perlawanan pusingan 32 terbaik antara Switzerland dan Algeria, manakala Herrera setakat ini hanya mendapat satu tugasan ketika peringkat kumpulan membabitkan Belgium dan Iran.
Selain faktor politik, beberapa pengadil lain turut berisiko terlepas aksi final sekiranya negara mereka terus mara dalam kejohanan termasuk termasuk Espen Eskas (Norway), Alejandro Hernandez (Sepanyol), Jalal Jayed (Maghribi), Francois Letexier dan Clement Turpin (Perancis) serta Sandro Scharer (Switzerland).
Pemilihan pengadil final bukan hanya bergantung kepada prestasi mereka sepanjang kejohanan tetapi turut mengambil kira aspek neutraliti, laluan pasukan dan sensitiviti politik antara negara bagi memastikan keputusan pengadilan akhirnya tidak dipersoalkan.



