KOMBES Pahang bakal jadi 'kilang' lahir atlet berkualiti

KOMBES Pahang bakal jadi 'kilang' lahir atlet berkualiti

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Kompleks Sukan dan Belia Sukan (KOMBES) Pahang bernilai RM30 juta diyakini melahirkan atlet berkualiti bukan sahaja mewakili Pahang, malah negara pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata kompleks itu juga bakal menjadi wadah penting dalam menghimpunkan potensi, mencungkil bakat serta melahirkan lebih ramai pemimpin, professional dan usahawan.

“Sudah pasti, perasmian KOMBES ini akan membuka satu lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan belia dan sukan di negeri ini.

“Dengan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran yang kondusif, kompleks ini diyakini menjadi medan untuk generasi muda membina disiplin, mengasah bakat serta merealisasikan impian mereka.

“Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan dan peruntukan untuk pembinaan kompleks ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2026 serta Majlis Perasmian KOMBES Pahang di sini hari ini.

Majlis perasmian KOMBES Pahang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara kemudahan di KOMBES Pahang ialah pejabat pentadbiran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, dewan utama untuk gelanggang badminton, futsal, padang bola, trek sintetik, pusat kecergasan dan gimnasium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top