KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) membantah dan berharap semakan semula projek pengeluaran hasil tanaman atau ‘tapping right’ kelapa sawit di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 7,550 hektar yang didakwa diluluskan di sebuah daerah di negeri ini.
Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli mendakwa, projek itu bukan sahaja boleh mengancam ekosistem hutan simpan, malah bercanggah prinsip kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang pembangunan negeri.
“HSK adalah warisan rakyat negeri Pahang. Sebarang pencerobohan atas nama projek ekonomi mesti ditolak kerana ia menggadaikan masa depan generasi akan datang.
“PSAP dan Gabungan NGO Pahang akan menghantar memorandum bantahan rasmi kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Isnin ini dengan permintaan agar kelulusan projek itu disemak semula secara menyeluruh.
“Kami menekankan bahawa suara rakyat mesti didengari dan sebarang keputusan yang melibatkan kawasan HSK tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa tanpa rundingan awam,” dakwanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Haslihelmy mendakwa, projek itu menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan dan keutamaan kerajaan negeri serta apakah asas kelulusan diberikan.
“Adakah kajian impak alam sekitar (EIA) sudah dijalankan secara telus? Siapakah pihak yang mendapat manfaat utama daripada projek ini? rakyat atau syarikat tertentu?.
“Adakah kerajaan negeri benar-benar mengambil kira titah Sultan Pahang yang menekankan kepentingan menjaga kelestarian hutan dan sumber asli? Mengapa projek sebesar ini diluluskan di kawasan HSK, sedangkan negeri Pahang sudah pun kaya dengan ladang kelapa sawit sedia ada?,” soalnya.
Beliau berkata, PSAP menuntut agar kelulusan projek itu dibatalkan serta-merta dan digantikan dengan pelan pembangunan alternatif yang lebih mesra alam, berdaya tahan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat luar bandar.
“PSAP berdiri teguh mempertahankan hutan simpan negeri. Kami menuntut keadilan, ketelusan dan kelestarian bukan keuntungan jangka pendek yang merosakkan bumi Pahang dan hutan simpan,” katanya. – UTUSAN




