mdroji@bh.com.my
Kuching: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berpandangan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebelum ini adalah pendekatan paling berkesan dalam menangani ancaman ajaran sesat, keselamatan, perkauman serta isu berkaitan agama di negara ini.
Beliau berkata, selepas ISA dimansuhkan, usaha membanteras ajaran sesat menjadi lebih sukar kerana tindakan penguatkuasaan kini perlu melalui proses dan bidang kuasa agensi berkaitan, termasuk Jabatan Agama.
Menurutnya, ketika ISA masih berkuat kuasa, pihak berkuasa tidak perlu menunggu tindakan daripada Jabatan Agama sekiranya sesuatu fahaman atau ajaran dikenal pasti mengancam keselamatan negara, perpaduan kaum atau bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa.
“Mana-mana ajaran sesat yang boleh mengancam keselamatan, mengancam perpaduan kaum dan bertentangan dengan fatwa, kita boleh mengambil tindakan segera serta melaksanakan program pemulihan terhadap individu yang terbabit,” katanya ketika ditemui pada Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara Tahun 2026 di Hikmah Exchange & Event Centre, di sini, hari ini.
Beliau antara penceramah pada seminar yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ayob Khan berkata, berdasarkan pengalaman lampau, individu yang ditahan mengikut ISA pernah mengikuti program pemulihan, termasuk menjalani proses rehabilitasi selama tempoh penahanan, sekali gus membantu membendung penyebaran fahaman yang menyeleweng.
Beliau menegaskan, berdasarkan pengalamannya, ISA adalah undang-undang yang amat berkesan untuk menangani isu keselamatan, perkauman, agama, ajaran sesat serta isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
“Pada pandangan saya, bukan cadangan ya, ISA perlu diwujudkan semula. Itu yang penting kerana undang-undang itu terbukti berkesan dalam menangani ancaman terhadap keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.
Mengulas mengenai ciri-ciri kumpulan yang membawa ajaran sesat, beliau berkata, golongan terbabit lazimnya menolak pandangan ulama, mentafsir ayat al-Quran mengikut fahaman sendiri serta tidak menerima fatwa yang dikeluarkan oleh jabatan mufti negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata, jabatan agama perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak polis terus memperhebat pemantauan terhadap penyebaran fahaman ekstrim dan ajaran sesat yang kini lebih banyak dilakukan menerusi media sosial, blog serta pelbagai platform dalam talian, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau berkata, jika pihak berkuasa memperoleh bukti atau maklumat mengenai kegiatan merekrut pengikut atau penyebaran fahaman berbahaya, tindakan pencegahan awal akan diambil, namun mengakui ketika ini tiada peruntukan undang-undang yang boleh memaksa pengamal ajaran sesat mengikuti program pemulihan seperti yang pernah dilaksanakan mengikut ISA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




