Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana berjaya mempertahankan mandat untuk menerajui Kerajaan Negeri Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata mandat itu adalah amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan negeri dan seluruh rakyat Johor.
“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat dan bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” katanya menerusi catatan itu.
Anwar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi dan rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab mereka dan ucapan terima kasih kepada jentera yang telah bekerja keras serta berusaha sedaya upaya sepanjang tempoh berkenaan.
“Tekad kami jelas, semua calon Harapan, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat.
“Kerajaan Persekutuan juga kekal komited memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasa dan ditambah baik, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media mengumumkan BN memperoleh majoriti mudah selepas memenangi 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor ke-16 setakat 10.32 malam ini.
Sementara itu, Pakatan Harapan memenangi dua kerusi manakala Perikatan Nasional, Parti Bersama Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia, Parti Sosialis Malaysia serta calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi setakat pengumuman itu dibuat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




