London: Linda Noskova tidak mampu menahan air mata selepas menjuarai Wimbledon buat kali pertama, sambil mendedikasikan kejayaan paling bermakna dalam kariernya itu kepada mendiang ibunya.
Pemain Czech berusia 21 tahun itu bangkit daripada kekecewaan mensia-siakan lima mata kejuaraan pada set kedua sebelum menewaskan rakan senegara dan sahabat baiknya, Karolina Muchova 6-2, 5-7, 6-3 pada aksi final yang mendebarkan di Centre Court.
Kemenangan itu menjadikan Linda wanita termuda menjuarai Wimbledon sejak Petra Kvitova melakukannya pada 2011.
“Sepanjang dua minggu ini setiap perlawanan sangat sukar, sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Hari ini pula bukan mudah untuk mendapatkan mata terakhir,” katanya sambil menangis ketika ditemu bual di gelanggang.
Lebih menyentuh hati, Linda menghadiahkan kejuaraan itu kepada ibunya yang meninggal dunia pada 2024.
“Ada seorang lagi yang saya mahu ucapkan terima kasih, iaitu ibu saya. Saya pasti tidak akan berdiri di sini tanpa awak,” katanya sebelum mengucup tangan ke arah langit.
Linda turut mengakui dia jarang menangis, namun segala pengorbanan sepanjang dua minggu di Wimbledon akhirnya berbaloi.
“Saya bukan seorang yang mudah menangis. Semua kerja keras dan pengorbanan ini benar-benar berbaloi. Saya tidak sabar untuk kembali tahun depan,” katanya.
Kemenangan itu turut mencetuskan suasana penuh emosi apabila legenda tenis Martina Navratilova yang berada di Royal Box bersama Puteri Wales dilihat mengalirkan air mata.
Karolina yang tewas dalam final Grand Slam pertamanya juga gagal menahan sebak ketika memberikan ucapan kepada juara baharu itu.
“Saya hendak mulakan dengan Linda… bekas kawan saya! Saya bergurau.
“Awak masih muda, ini final Grand Slam pertama awak dan cara awak bermain memang luar biasa. Awak seorang yang baik dan sememangnya layak menang,” katanya.
Dengan linangan air mata, Karolina berjanji akan kembali memburu gelaran Grand Slam pertamanya.
“Saya sangat kecewa sekarang. Apabila melihat ke arah pasukan saya… maaf, saya terlalu emosional.
“Saya akan terus berjuang. Saya mahukan trofi itu dan berharap dapat kembali beraksi di final lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




