SHAH ALAM: Sebuah kilang pemprosesan kertas yang terletak bersebelahan dengan laluan paip gas, dekat Kampung Jawa, Seksyen 35, di sini, terbakar, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kebakaran tersebut turut melibatkan kontena yang dijadikan asrama menempatkan 50 pekerja.
Tambahnya, kesemua pekerja didapati terdiri daripada warga asing iaitu Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
“Laporan awal kebakaran melibatkan sebuah kilang bangunan kelas B berkeluasan 20,000 kaki persegi. Anggaran peratusan yang terbakar 30 peratus dan tidak melibatkan mangsa.
“Kebakaran bermula dari longgokan kertas. Jarak pili bomba pula 1,000 kaki. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.50 pagi. Bantuan jengkaut (JCB) diperlukan bagi memudahkan pemadaman,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, laporan operasi di tempat kejadian menunjukkan tiada sistem kecemasan kebakaran sementara asrama pekerja pula terletak di bahagian belakang dan tiada akses masuk.
“Sistem kebakaran tiada, asrama pekerja berada di bahagian belakang tiada akses masuk, asrama diperbuat daripada kontena, penghuni asrama 50 orang. Pemadaman menggunakan dua aliran dua dividing bracing empat nozzle relay pumping pam jentera,” jelasnya.
Terdahulu, Ashrul Riezal memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.57 pagi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan dibantu oleh BBP Sri Andalas serta Klang Utara.
“Seramai 19 pegawai dan anggota memadam kebakaran dan dibantu oleh empat jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light FRT dan lori tangki,” ujarnya. – UTUSAN




