Menang besar PRN Johor, BN perlu terjemah mandat rakyat seawal 100 hari

Menang besar PRN Johor, BN perlu terjemah mandat rakyat seawal 100 hari

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam, bukan hanya mengukuhkan kedudukannya sebagai kerajaan negeri, malah meletakkan harapan rakyat pada tahap lebih tinggi supaya mandat diberikan diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang boleh dirasai seawal 100 hari pertama pentadbiran.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mujibu Abd Muis berkata, pengundi hari ini tidak lagi menilai sesebuah kerajaan berdasarkan kemenangan pilihan raya semata-mata, sebaliknya sejauh mana mandat diberikan diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, tempoh 100 hari pertama menjadi fasa dan ukuran penting untuk BN membuktikan kesungguhan memenuhi harapan rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu yang paling dekat dengan kehidupan mereka.

“Keutamaan BN ialah memberikan hala tuju jelas dalam tempoh 100 hari pertama dengan memberi tumpuan kepada isu paling dekat dengan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, kesesakan lalu lintas, bekalan air dan pembangunan infrastruktur asas.

“Dalam keadaan ekonomi masih mencabar, rakyat lebih mengharapkan penyelesaian yang boleh dirasai berbanding pengumuman dasar besar yang mengambil masa lama untuk dilaksanakan.

“Pada masa sama, BN perlu memastikan pentadbiran stabil, telus dan responsif. PRN bukan hanya memberikan mandat untuk mentadbir, tetapi juga amanah untuk membuktikan politik mampu menghasilkan penyelesaian bukannya sekadar persaingan kuasa,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Mujibu berkata, BN tidak terlepas berdepan cabaran terbesar selepas kemenangan termasuk mengurus jurang antara jangkaan tinggi rakyat dengan kemampuan sebenar kerajaan negeri untuk melaksanakan perubahan.

Katanya, rakyat mahukan hasil segera sedangkan banyak isu termasuk kos sara hidup, kadar gaji dan pelaburan turut dipengaruhi dasar Kerajaan Persekutuan serta keadaan ekonomi global.

“Selain itu, Johor turut berdepan cabaran pembangunan tidak seimbang. Keperluan penduduk di Johor Bahru dan Iskandar Puteri jauh berbeza dengan kawasan luar bandar seperti Mersing, Kota Tinggi dan Tangkak.

“Justeru, kerajaan negeri perlu memastikan pembangunan diagihkan secara lebih seimbang supaya manfaat pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan selatan,” katanya.

Beliau berkata, BN perlu mengekalkan kepercayaan rakyat kerana pengundi kini lebih kritikal dan menilai prestasi kerajaan secara berterusan bukan hanya menjelang pilihan raya.

“Pada akhirnya, kejayaan BN bukan diukur berdasarkan besarnya kemenangan diraih, tetapi sejauh mana manifesto berjaya diterjemahkan kepada dasar yang boleh diukur, dirasai dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.

“Itulah akan menentukan sama ada kepercayaan diberikan rakyat hari ini dapat dikekalkan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Pada PRN Johor ke-16 semalam, BN mempertahankan pentadbiran negeri dengan kemenangan bergaya apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gabungan itu bukan sahaja mengekalkan status quo sebagai kerajaan negeri, malah mempertahankan sebahagian besar kerusi sedia ada selain turut merampas lapan kerusi yang sebelum ini disandang parti lawan.

Kerusi terbabit termasuk Johor Jaya, Perling, Bukit Batu, Jementah dan Tangkak yang disandang Pakatan Harapan (PH) manakala kerusi milik penyandang dari Perikatan Nasional (PN) pula membabitkan Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

Keputusan semalam turut menyaksikan PN, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) selain enam calon bebas tidak memenangi sebarang kerusi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top