sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Bekas pertahanan Terengganu FC (TFC), Hairiey Hakim Mamat mengharapkan penghijrahannya ke Negeri Sembilan FC (NSFC) mampu meningkatkan lagi prestasinya pada musim baharu nanti.
Pemain berusia 26 tahun itu juga tekad untuk memburu lebih banyak lagi minit permainan bersama pasukan baharunya itu sekali gus mahu membuktikan kemampuan sebenarnya di padang.
“Sejujurnya saya berasa bersyukur dan bangga selepas mendapat tawaran daripada pasukan NSFC selepas hampir sembilan tahun berkhidmat di bumi Terengganu.
“Dengan pengalaman sepanjang berada di Terengganu, saya akan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin untuk membantu pasukan baharu ini mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan.
“Pada masa sama saya tekad untuk mengambil peluang yang diberikan ini untuk menambah minit permainan sekali gus mengintai peluang untuk mara lebih jauh lagi dalam karier bola sepak.
“Buat peminat setia skuad Negeri Sembilan, teruskanlah menyokong agar pasukan mampu bangkit pada musim baharu nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




