Pogacar gesa rombak kalendar berbasikal susulan cuaca panas ekstrem

Pogacar gesa rombak kalendar berbasikal susulan cuaca panas ekstrem

Ussel: Juara Tour de France, Tadej Pogacar mencadangkan perubahan besar terhadap kalendar perlumbaan berbasikal dunia selepas gelombang haba ekstrem melanda saingan tahun ini, dengan pelumba terpaksa berdepan suhu mencecah 40 darjah Celsius.

Pelumba Slovenia berusia 27 tahun itu berkata, sekiranya diberikan kuasa untuk menentukan jadual perlumbaan, beliau tidak akan mengadakan perlumbaan utama pada bulan Julai dan Ogos khususnya di kawasan yang mempunyai cuaca terlalu panas.

Cadangan itu dilontarkan selepas peringkat kesembilan Tour de France 2026 di wilayah Correze dipendekkan kira kira 30 kilometer susulan amaran “merah” akibat gelombang haba.

Sejak perlumbaan edisi ke 113 itu bermula di Barcelona sembilan hari lalu, pelumba terpaksa mengharungi suhu antara 35 hingga 40 darjah Celsius setiap hari, sekali gus mencetuskan cabaran besar dari aspek hidrasi, pemulihan dan pengurusan suhu badan.

“Ini adalah topik besar untuk dibincangkan. Tetapi jika saya mempunyai kuasa untuk mengubah semuanya, saya akan mengubah keseluruhan kalendar dan saya tidak akan berlumba pada Julai dan Ogos di kawasan panas.

“Saya akan mencipta kalendar yang berbeza sepenuhnya,” kata pelumba pasukan UAE Team Emirates XRG itu.

Sebelum ini, pelumba veteran Australia, Luke Durbridge mencadangkan supaya waktu permulaan perlumbaan diawalkan bagi mengurangkan pendedahan kepada cuaca panas.

Bagaimanapun, Pogacar menganggap perubahan kecil seperti itu mungkin tidak banyak membantu kerana pelumba tetap akan menamatkan perlumbaan ketika suhu paling tinggi.

“Ada cadangan supaya perlumbaan bermula jam 10 pagi, tetapi bagi saya ia tidak mengubah banyak perkara kerana anda masih akan tamat ketika cuaca paling panas.

“Hari ini sebagai contoh, kami tiba dan menamatkan perlumbaan dalam keadaan lebih sejuk berbanding ketika permulaan.

“Jadi mungkin perlu bermula jam 8 atau 9 pagi, atau lebih awal. Tetapi saya fikir badan juga boleh menyesuaikan diri, bangun jam 5 pagi dan memulakan perlumbaan jam 8 pagi,” katanya.

Walaupun isu cuaca panas menjadi perhatian utama, Pogacar memuji usaha pasukan profesional yang semakin bersedia menguruskan keadaan ekstrem menerusi pelbagai kaedah penyejukan badan dan pemulihan.

Menurut pemenang Tour de France itu, pasukannya berjaya mengendalikan cabaran cuaca panas dengan baik sepanjang perlumbaan.

“Pasukan kami menguruskannya dengan sangat baik. Kami melakukan kerja yang hebat untuk menyejukkan badan dan sistem badan kami. Saya sangat berpuas hati dengan bagaimana semuanya berjalan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top