Messi cipta satu lagi rekod hebat di Piala Dunia

Messi cipta satu lagi rekod hebat di Piala Dunia

Kansas City: Walaupun gagal menemui jaringan ketika membantu Argentina menewaskan Switzerland 3-1 pada suku akhir Piala Dunia, Lionel Messi tetap mencipta sejarah apabila muncul pemain dengan jumlah bantuan gol terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu.

Kapten Argentina berusia 39 tahun itu mencipta bantuan gol kepada Alexis Mac Allister menerusi sepakan penjuru pada minit ke-10, sekali gus merekodkan bantuan gol ke-10 dalam sejarah penampilannya di Piala Dunia.

Jumlah itu membolehkan Messi memintas legenda Jerman Barat, Fritz Walter, yang mengumpul sembilan bantuan gol. Ikon Brazil, Pelé, turut dikreditkan dengan sembilan bantuan gol oleh beberapa sumber, namun jumlah itu masih menjadi perdebatan.

Lebih menarik, kesemua 10 bantuan gol Messi di Piala Dunia diberikan kepada penjaring yang berbeza.

Perlawanan di Kansas City sekali lagi menyaksikan Argentina berdepan tentangan sengit. Sebelum ini, skuad kendalian Lionel Scaloni turut dipaksa bekerja keras untuk menyingkirkan Cape Verde dan Mesir bagi mara ke suku akhir.

Messi membuka ruang kepada gol pertama Mac Allister selepas hanya 10 minit permainan, namun Switzerland menyamakan kedudukan menerusi Dan Ndoye pada babak kedua.

Switzerland kemudian kehilangan Breel Embolo selepas menerima kad kuning kedua susulan pelaksanaan peraturan baharu FIFA berkaitan “kesilapan identiti” (mistaken identity), menyebabkan mereka beraksi dengan 10 pemain.

Bagaimanapun, Argentina masih memerlukan masa tambahan sebelum memastikan kemenangan apabila Julián Álvarez meledak gol cantik, sebelum Lautaro Martínez melengkapkan kemenangan 3-1.

Kejayaan itu menyaksikan Argentina akan menentang England pada aksi separuh akhir, Khamis ini.

Perlawanan itu juga menjadi kali pertama Messi gagal menjaringkan gol dalam perlawanan Argentina di Piala Dunia 2026, sekali gus kekal dengan lapan gol dalam saingan memburu Kasut Emas.

Namun, pengaruhnya tetap besar apabila mencipta enam peluang, melakukan empat percubaan ke arah gol, melengkapkan lima gelecek berjaya serta menyumbang satu bantuan gol.

“Dia seperti sebuah mesin. Mereka yang tidak begitu mengenalinya mungkin terkejut. Pada usia 39 tahun, ada yang menyangka dia tidak lagi mampu bersaing di tahap tertinggi.

“Tetapi saya sudah katakan sebelum ini, selagi dia mahu menjadi yang terbaik, dia akan terus menjadi pemain terbaik,” kata Scaloni.

Selain muncul pendahulu mutlak senarai bantuan gol sepanjang zaman Piala Dunia, Messi turut mencapai satu lagi pencapaian apabila sudah terlibat dalam 10 gol di kejohanan kali ini menerusi lapan jaringan dan dua bantuan gol.

Selepas turut mencatatkan sekurang-kurangnya 10 penglibatan gol pada Piala Dunia 2022, Messi menjadi hanya pemain kedua dalam sejarah selepas Kylian Mbappe yang merekodkan 10 atau lebih penglibatan gol dalam dua edisi Piala Dunia berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top