Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal dibina di Muzium Warisan Melayu UPM

Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal dibina di Muzium Warisan Melayu UPM

syazrina@hmetro.com.my

Serdang: Sebuah Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal dibina di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai usaha memelihara warisan negeri dan dijadikan pusat pembelajaran kepada generasi baharu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pembinaan rumah tradisional itu adalah cetusan ilham Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu sebuah rumah tradisional negeri diwujudkan di UPM.

Beliau berkata, rumah itu dijangka siap pada November ini dengan kos pembinaan kira-kira RM400,000.

Katanya, daripada jumlah itu, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyumbang RM250,000 menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), manakala baki kos ditanggung UPM termasuk kerja landskap dan pemasangan utiliti.

“Apabila Rumah Bumbung Panjang Selangor ini siap dibina, ia akan menjadi tatapan generasi baharu untuk mengenali warisan rumah tradisional negeri ini selain menjadi ruang untuk masyarakat menghayati sejarah dan budaya Selangor,” katanya selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah bagi Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Jailani Johari, Naib Canselornya, Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Dalam pada itu, Borhan berkata, rumah itu akan dibina menggunakan kayu berkualiti seperti cengal, resak dan belian bagi mengekalkan keaslian seni bina warisan.

“Saya difahamkan Muzium Warisan Melayu UPM kini menempatkan rumah tradisional Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Terengganu sering menjadi lokasi penggambaran pelbagai program termasuk majlis perkahwinan dan sambutan perayaan.

“Ini sangat baik dan positif kerana mereka juga boleh memperhalusi, mengkaji dan juga mengenal antara rumah tradisional yang terdapat di muzium ini termasuklah Rumah Bumbung Panjang Selangor,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, projek itu membuktikan universiti bukan sahaja berperanan melahirkan graduan cemerlang dan berdaya saing, malah bertanggungjawab memelihara memori serta warisan bangsa.

“Rumah tradisional bukan sekadar binaan fizikal berasaskan kayu, sebaliknya menyimpan falsafah hidup, kebijaksanaan masyarakat, teknologi tempatan, seni ukiran, hubungan manusia dengan alam dan cara orang Melayu membina kehidupan berkomuniti,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan rumah itu di UPM akan menjadikannya sebagai makmal pembelajaran dan kelas terbuka kepada pelajar, penyelidik, pencinta warisan, pelawat serta generasi muda untuk memahami asal usul dan nilai warisan mereka.

Difahamkan, Rumah Bumbung Panjang Selangor itu dibangunkan berdasarkan rujukan sebuah Rumah Bugis Bumbung Panjang di Lot 5318, Batu 1, Kampung Sepintas, Sabak Bernam yang dianggarkan dibina sekitar 1890.

Rumah berkenaan memiliki keunikan seperti loteng, beranda berbumbung perabung panjang, tebar layar berlapis, ukiran tebuk tembus bercorak organik dan geometrik, daun tingkap boleh laras serta hiasan cucur atap bermotif lebah tergantung.

Selain menjadi koleksi tetap Muzium Warisan Melayu UPM, rumah itu akan dimanfaatkan bagi program pendidikan warisan, penyelidikan, aktiviti komuniti, pameran budaya serta pelancongan berasaskan ‘edu-tourism.’

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top